Friday, April 4, 2008

PRU12-2008





DEBARAN menanti pilihan raya umum ke-12 berakhir semalam. Mulai semalam juga, setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen, masa depan negara ini akan kembali ke tangan rakyat.
Seramai 10.9 juta pemilih berdaftar bakal menentukan bentuk kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang. Merekalah yang menentukan pemimpin untuk mengisi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagi pilihan raya umum ke-12, selepas penambahan tiga kerusi Parlimen di Sarawak, parti yang bakal mendapat sekurang-kurangnya 148 kerusi akan dinobatkan sebagai pihak yang berhak membentuk kerajaan.
Dalam pilihan raya umum 2004, di peringkat Parlimen, Barisan Nasional (BN) memenangi 198 daripada 219 kerusi Dewan Rakyat dengan memperoleh undi popular kira-kira 64 peratus.
Parti pembangkang pula memperoleh 20 kerusi, iaitu DAP 12 kerusi, Pas enam kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas masing-masing satu kerusi.
Dalam tempoh proses demokrasi pilihan raya ini - peristiwa besar yang telah dilalui secara konsisten sejak tahun 1955 - rakyat Malaysia menjadi raja. Kuasa ada di tangan mereka untuk menentukan wakil paling sesuai di Dewan Rakyat dan DUN.
Tempoh penting ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Ia jangan disia-siakan kerana masa depan kita dan generasi akan datang kini berada di tangan kita.
Inilah proses politik yang memerlukan komitmen banyak pihak - parti politik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan paling penting ialah pengundi yang dituntut untuk melaksanakan tanggungjawabnya.
Dan tempoh paling meriah nanti ialah apabila tiba saatnya untuk parti-parti yang terlibat berkempen bagi memancing undi setelah penamaan calon diumumkan kelak.
Pada saat itulah ahli-ahli politik akan diuji kewibawaan mereka. Masa itulah masing-masing akan menunjukkan seni berpolitik dengan bermain kata-kata dan janji. Sebagai pengundi yang matang, kita tentunya mudah mengesan antara janji tulen dan janji manis.
Politik adalah perkara subjektif yang mempunyai banyak kemungkinan termasuk kemungkinan berjanji tanpa menepatinya yang sering disebut sebagai omong kosong.
Semua cara akan digunakan - mengecam, mengherdik malah menghina pihak lain. Segalanya akan dianggap baik apabila ia sesuai dengan tujuan. Sebaliknya semuanya adalah buruk apabila ia bertentangan dengan tujuan yang ingin dicapai.
Inilah yang akan berlaku semasa kempen pilihan raya nanti. Yang mungkin disaksikan nanti ialah kesungguhan untuk menangkis, bukan mengakui yang benar adalah benar dan yang salah adalah salah. Tambah mengharukan apabila kebenaran dimanipulasi agar ia kelihatan salah.
Dalam keadaan ini, kematangan pemilih amat perlu supaya tidak tersalah pilih. Pilihan raya bukan saatnya untuk mencuba-cuba seperti memilih pakaian.
Ini adalah masa untuk memilih pemimpin dan kerajaan selama lima tahun ke depan. Dalam aspek ini, tentulah rekod prestasi parti dan calon bertanding penting untuk dijadikan ukuran.
Selepas pengumuman semalam, debaran kini beralih kepada calon pilihan raya terutama siapa yang akan digugurkan dan muka baru. Tetapi yang lebih mendebarkan ialah persoalan mampukah pakatan pembangkang mencabar kedudukan BN yang telah sekian lama berjaya memenangi majoriti suara rakyat?
Setakat ini, BN telah menyatakan keyakinan untuk mendapat sekurang-kurangnya majoriti 148 kerusi Parlimen dengan kemenangan BN terus menjadi satu tradisi.
Pakatan pembangkang pula belum lagi menampakkan keyakinannya untuk menggugat kedudukan BN kecuali bagi kerajaan negeri Kelantan yang sejak 18 tahun lalu dikuasai Pas. Petikan daripada Utusan Online.

Saya turut memetik satu analisis ditulis oleh abg_x daripada wangcyber.com

Sebagai seorang yang tidak beparti, juga tidak mengundi dan juga seorang yang neutral; saya berpendapat antara faktor kegagalan kepada BN untuk mendapat majori 2/3 ialah:

1. Faktor Anwar Ibrahim
Pada mulanya, namanya tenggelam dan tidak langsung disebut-sebut di dalam media arus perdana. Hanya yang diperkatakan ialah keadilan adalah parti untuk individu tertentu dan juga pembangkang diperalatkan oleh individu tertentu. Namun, apa yang saya ketahui daripada rakan-rakan saya, ceramah yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim mendapat sambutan ramai sehingga mencapai lebih sepuluh ribu dalam sesuatu masa. Kemahirannya berpidato memang tidak dapat dinafikan lagi dan boleh memukau setiap orang yang hadir. Tarikh pilihanraya juga dikatakan ditetapkan agar beliau tidak boleh bertanding. Ini menjadi satu petanda yang beliau digeruni walaupun pihak BN mengatakan beliau sudah tiada tempat di hati rakyat. Dua tiga hari sebelum hari pengundian, nama beliau disebut-sebut di dalam media arus perdana sebagai pengkhianat negara, pertalian dengan barat, penyebab negara hampir bankrap dan banyak lagi. Sememangnya ini adalah nada yang sama semasa beliau dipecat daripada jawapan TPM yang dahulu. Ini telah membangkitkan gelora seperti luka lama berdarah kembali. Para penyokong beliau yang sudah lama duduk diam terasa bahangnya dan kembali geram lalu dinoktahkan dengan undi kepada pembangkang.

2. Faktor Mahathir
Tun Mahathir mempunyai pengikutnya yang tersendiri di dalam BN. Walaubagaimana teruk dia diperkatakan sebagai seorang tua yang sudah nyanyuk namun kredibiliti Beliau amat sukar disanggah. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan kritikan beliau kepada kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi begitu kritikal dan tajam. Sekali-sekala dapat dilihat kritikan beliau yang boleh menjatuhkan terus PM namun padangan beliau masih lagi dapat ditepis. Namun, rakyat melihatnya sesuatu yang amat besar. Sedikit sebanyak rakyat berfikir bahawa jika orang yang sangat dekat dan memilih seseorang itu sebagai PM tetapi tidak dapat mempercayai orang itu lagi, adakah mereka perlu terus percaya? Sebenarnya, pihak pembangkang bijak memanipulasikan kenyataan Tun Mahathir bagi kepentingan mereka juga. Saya berpendapat Tun Mahathir berbuat demikian kerana padangannya tidak diambil endah setelah melakukannya secara tertutup. Lalu, beliau membuat kenyataan secara terbuka.

3. Faktor Abdullah Ahmad Badawi
Dipermulaan Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, imejnya sungguh sempurna. Beliau adalah cucu kepada TOk guru, seorang yang boleh menjadi imam, seoarang yang bersih, anti rasuah dan pembaziran. Itulah imej beliau di masa kemenangan besar BN di tahun 2004. Namun, imej beliau secara sedikit demi sedikit tecalar kerana pihak pembangkang telah memainkan serangan peribadi kepada beliau. Banyak risalah-risalah yang dikeluarkan yang menunjukkan beliau kuat tidur, memegang perempuan (Datuk Michelle yeoh) dan juga sebagai seorang Imam amalan baru, Islam Hadhari. Perkahwinan beliau dengan isteri yang tidak memakai tudung dan juga imej anaknya telah menyebabkan imej Imam beliau terjejas teruk.

4. Faktor Khairi Jamaluddin
Khairi Jamaluddin telah dikatakan sebagai individu yang menguasai PM oleh Tun Mahathir. Saya suka cara agresif beliau yang tidak memeperlihatkan watak sebagai seorang yang lembik seperti ketua Pemuda UMNO. Namun , beliau telah dikatakan sebagai seorang yang sangat angkuh dan sentiasa mengeluarkan kenyataan semacam beliau adalah orang yang sangat berkuasa. Walaupun latar belakang beliau agak menarik dan tidak dinafikan berhak diangkat sebagai seorang pemimpin namun, menantu Perdana menteri itu perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

5. Faktor harga barang naik
Ini adalah faktor nasional. Harga barang di sini bolehlah dikaitkan dengan harga minyak. Banyak papatanda yang menerangkan tentang harga minyak berbanding dengan negara-negara jiran namun ada yang mempersoalkan kenapa tidak dibandingkan dengan harga minyak di negara pengeluar minyak seperti di Brunei. Setiap tahun diwar-warkan bahawa Petronas telah untung berlipat kali ganda namun kenapa harga minyak semakin membebankan?

6. Faktor pendidikan
Kos pendidikan yang mahal, sekolah aliran cina dan peluang sama rata ke Universiti adalah isu yang dimainkan. Pihak pembangkang berjaya memainkan isu ini dan berjaya menarik pengundi cina. Pengundi cina diperkatakan sebagai amat sensitif dengan isu pendidikan.

7. Faktor jenayah
Kebanjiran pekerja asing dan dikatakan menyumbang kepada kadar jenayah negara juga menjadi isu utama. Kerajaan dikatakan gagal mengawal keadaan seperti kes Nurin dan juga Sharlini.

8. Faktor media arus perdana
Ramai mengatakan media arus perdana berat sebelah. Mereka sudah muak dengan keadaan itu. Apabila digembar-gemburkan perihal pemimpin pembangkang yang sentiasa mendapat publisiti negatif, kebencian semakin meningkat kepada media arus perdana.

9. Faktor tak nak keluar mengundi
Peratusan pengundian yang rendah sehingga 50% di sebuah-buah negeri yang BN kalah bukanlah disebabkan kerana faktor cuaca. Saya berpendapat mereka tidak ada semangat dan tidak mahu nenyokong BN. Pengundi hanya berdiam diri di rumah dan akan menerima sahaja apa keputusan yang dibuat. Namun, saya percaya ada yang menyesal pada hari ini setelah melihat keputusannya.

10. Faktor keselesaan
Majoriti yang besar pada tahun 2004 dimenangi oleh BN menyebabkan mereka tidak berasa gusar. Lihatlah! siapa yang sangka BN akan kalah di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Sebelum ini apa yang diperkatakan ialah merampas kembali Kelantan dan kalaupun adanya kejutan, negeri Perlis dan Terengganu sahaja yang mungkin bermasalah. Fokus adalah kurang kerana perasaan selesa ini lalu, BN tewas di negeri-negeri tersebut. Ada juga kerjaan negari yang "over-confident" seperti sasaran "PEMBANGKANG SIFAR 2010" namun mereka pula yang perlu menjadi pembangkang.

11. Faktor kerja kuat pembangkang
Setelah Terengganu kembali kepada BN dan Majoriti merosot PAS di Kelantan pada 2004,pihak pembangkang telah bekerja kembali kuat seperti tahun 1999. Hasilnya apa yang anda dapat lihat pada kali ini.

12. Faktor pembelaan kaum
Rakyat cina dan india merasakan mereka kurang terbela. Adakah mungkin kerana imej islam hadhari? Saya melihat kejadian seperti tuntutan mayat yang dikatakan beragama Islam dari keluarga bukan Islam menjadi isu yang amat sensitif di kalangan rakyat bukan Islam.

13. Faktor prestasi
Ada wakil rakyat yang dipilih tidak menepati kehendak rakyat di atas prestasi mereka. Ada bekas YB iaitu mertuanya yang didapati melakukan perkara yang menyalahi kuasa diketepikan namun menantunya dipilih pula. Bagi rakyat, ianya menunjukkan kronisme dan tidak dapat diterima.

14. Faktor simpati
Nurul Izzah iaitu anak kepada Anwar Ibrahim di suatu ketika dahulu di anggap puteri reformasi yang membela bapanya. Imejnya yang kuat bersemangat dan berani di ketika itu sudah cukup membuktikan beliau berhak dilantik sebagai YB. Mungkin ada undi simpati kepada beliau setelah apa yang dilaluinya selama ini di ketika bapanya di penjara.

15. Faktor dinasour
Contoh terbaik adalah YB di Sungai Siput yang memegang kerusinya semenjak 1974. Akhirnya ditolak rakyat pada hari jadinya.

16. Faktor dalaman
Ada perasaan yang tidak puas hati dengan pemilihan calon. Banyak calon luar diletakkan dan dipilih lalu tidak memperdulikan calon tempatan.Sebagai contoh ialah apa yang berlaku di Perak apabila calon Gerakan di letakkan di Lenggong yang sebelum ini, kawasan tradisi UMNO. Namun, sehari selepas itu, ianya diubah ke kawasan MB iaitu di Grik. Ini adalah contoh krisis dalaman namun ianya dapat ditangani segera. Ada maklumat yang mengatakan calon-calon di Lenggong membuat protes dan tidak menerima calon Gerakan. Mereka menyatakan hasrat menarik diri daripada bertanding jika calon Gerakan diletakkan disitu. Kemelut ini ekoran diatas dasar mengembalikan kerusi Bukit Gantang kepada UMNO agar M. Kayveas dapat bertanding di Taiping. MB Perak menitiskan air mata apabila mengumumkan pertukaran tersebut.

17. Faktor hindraf
MIC dinampakkan sebagai sudah tidak boleh diharap untuk memperjuangkan nasib India. Kebanyakkan undi India kepada pembangkang. Keadaan sungguh luar biasa apabila orang India dan Cina juga memakai t-shirt pas dan merayu undi untuk Pas di kawasan calon yang ditandingi oleh Pas dengan BN. Bendera- bendera Pas dipacakkan di perkampungan mereka. Mereka nampaknya tidak kisah menyokong sesiapa asalkan calon di satu pihak lagi itu melawan BN. Ini sesuatu yang amat mengejutkan dan hanya dapat dilihat pada pilihanraya tahun ini.

18. Faktor khabar angin
Banyak SMS dan Khabar angin dilemparkan seperti kenaikkan harga minyak lagi pada akhir bulan ini. SMS juga adalah satu penyebar khabar angin dan jenaka pilihanraya yang digunakan secara meluas sekarang ini. Antara SMS yang saya terima sekejap tadi ialah "SESIAPA ADA TERJUMPA SEORANG RAKYAT SELANGOR, RAMBUT PUTIH, BERLAGAK HANDSOME, BANGSA JAWA, RENDAH2, SILA HUBUNGI BALAI POLIS TERDEKAT.KUNCI PEJABAT MB ADA PADA BELIAU".

19. Faktor media alternatif
Media alternatif seperti blog dan laman web sudah menampakkan impaknya. Di saat-saat akhir pilihanraya, PM juga telah membuka laman web untuk mendekati rakyat namun masa sudah suntuk pada ketika itu.

20. Faktor sokongan kakitangan kerajaan
Kakitangan yang agak tidak berpuas hati kerana tiada bonus pada tahun ini mungkin memberikan undi protes kepada kerajaan. Ada yang menyokong pembangkang, buat undi rosak atau tidak mengeluarkan undi.

Namun begitu, saya agak khuatir dengan keputusan pilihanraya yang dikatakan tsunami ini kerana wujudnya dominasi tidak seimbang dan nampak seperti ke arah menghapuskan tradisi ketuanan politik kita. saya pasti akan mendaftar dan menyertai parti yang sudah banyak berjasa kepada saya. Kini, tiba masanya mereka memerlukan jasa saya pula. Ini hanyalah pendapat peribadi saya. Apakah pendapat anda pula?

No comments: