Sunday, March 29, 2009

Ucapan Penggulungan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO






Alhamdulillah marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah Taala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita telah diberikan kekuatan untuk berhimpun selama tiga hari yang lalu bagi melaksanakan tanggungjawab kita memilih kepimpinan parti dan membahaskan isu-isu yang berkaitan dengan parti kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara.

Izinkan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh perwakilan yang telah memberi amanah dan kepercayaan kepada saya dan memilih saya sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Sesungguhnya jawatan ini satu amanah Allah yang seharusnya saya pikul dengan rasa penuh tanggung jawab dan jujur.

‘‘Tidaklah boleh selandak padi,

Sekamlah juga ditumbuk luluh,

Tidaklah ikut kehendak hati,

Kehendak Allah jugalah sungguh.

Negeri kita aman sentosa,

Kaya dengan tumbuh-tumbuhan,

Niat di hati nak buat jasa,

Mudah-mudahan Tuhan kabulkan.

Yang berbahagia pengerusi tetap di kesempatan ini saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan saya khasnya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Presiden UMNO di atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau kepada parti dan negara.

Beliau akan terus diingati, beliau akan terus disanjungi dan dihormati sebagai pemimpin berjiwa besar yang sanggup berkorban dan mendahulukan kepentingan parti dan negara dari kepentingan sendiri.

Saya yakin kesediaan Datuk Seri Abdullah menjayakan pelan peralihan kepimpinan parti dan kerajaan adalah terbit daripada sifat kesetiaan beliau kepada parti keikhlasan beliau dan kecintaan dan sayang beliau kepada parti dan kesediaan beliau untuk berkorban demi untuk parti, agama, bangsa dan negara.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri kerana telah pun memberikan saya tunjuk ajar dan sepanjang saya berkhidmat dengan parti dan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri di bawah beberapa kementerian.

Dalam pinang tumbuh kelapa,

Terbit putik bunga melati,

Budi Pak Lah saya tak lupa,

Sudah terpaku di dalam hati.

Tenang-tenang air di laut,

Sampan kolek mudik ke tanjung,

Hati terkenang mulut tersebut,

Budi Pak Lah tetap dijunjung.

Jika salah ibu dodoikan,

Tangis anak di atas pangkuan,

Salah dan silap saya lakukan,

Maaf Pak Lah saya pohonkan.

Saya amat menghargai akan kenyataan pengiktirafan dari Datuk Seri Abdullah. Pak Lah kita dalam akhbar hari ini yang menyatakan bahawa gandingan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalannya adalah gandingan yang bagus katanya, terima kasih Pak Lah.

Tuan pengerusi, UMNO telah pun mulai berubah. Kita telah pun menyaksikan perubahan saf kepimpinan yang diketuai oleh Yang Amat berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak yang komited dengan agenda tajdidnya iaitu agenda pembaharuan.

Kita juga telah berubah dengan memilih ahli-ahli majlis kerja tertinggi yang penuh bersemangat untuk menggalas harapan orang Melayu dan rakyat seluruhnya untuk memacu perubahan ke arah kebaikan.

Pasukan pembaharuan atau pun pemulihan dan penambahbaikan yang telah pun dipilih oleh perwakilan parti ini sudah pasti akan menjayakan agenda rekayasa dan perubahan parti akan dipimpin oleh nakhoda parti yang baru ini.

Pasukan pembaharuan ini insya-Allah tentunya akan komited untuk membantu Yang Amat Berhormat Presiden parti membawa UMNO dan negara ke satu era baru arah yang lebih cemerlang lagi, insya-Allah.

Saya ingin mengajak semua ahli Majlis Kerja Tertinggi dan juga para perwakilan serta seluruh ahli UMNO di seluruh negara untuk berikrar berdiri teguh bersama-sama nakhoda parti kita yang baru untuk meneruskan perjuangan parti dan agenda besar kita untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden parti kita yang baru haruslah dibantu dengan penuh keikhlasan dan seluruh kudrat yang ada pada kita haruslah digemblengkan untuk melaksanakan agenda perubahan yang sangat-sangat diperlukan oleh parti untuk bangkit semula di persada politik negara sebagai parti yang paling unggul di negara kita.

Kita haruslah melaksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh iltizam untuk mentransformasikan UMNO. Tentunya keutamaan kita untuk membawa perubahan-perubahan yang diperlukan oleh UMNO dan diperlukan oleh rakyat jelata.

Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Taala dalam al-Quran: Maksudnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri.

Selanjutnya kita harus bersama-sama dengan rakan-rakan dalam parti-parti komponen yang ingin membantu Presiden parti sebagai pengerusi Barisan Nasional untuk merekayasa Barisan Nasional demi untuk menjayakan gagasan satu Malaysia dan inilah harapan besar rakyat terhadap UMNO dan BN.

Saya berjanji di hadapan saudara-saudara sekelian akan menjadi timbalan yang senantiasa setia kepada ketuanya. Saya insaf sebagai timbalan presiden saya merupakan orang nombor dua dalam parti.

Orang nombor dua kena jadi seperti orang nombor dua bukan orang nombor satu. Kalau nombor dua berkelakuan seperti orang nombor satu maka bahtera kita tidak akan belayar dengan tenteram dan selamat, nahas jadinya.

Di depan para perwakilan sekelian juga saya berikrar untuk menjadi orang nombor dua dan timbalan kepada Presiden Datuk Seri Najib di waktu senang di waktu susah, bukan menjadi sokong yang membawa rebah.

Ke bukit sama di daki,

Ke lurah sama dituruni,

Berat sama dipikul,

Ringan sama dijinjing.

Insya-Allah semua sejarah dan pengalaman orang nombor dua parti sebelum ini akan saya jadikan iktibar dan tauladan dan tidak ada contoh yang lain yang lebih baik selain dari yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Mohd Najib sewaktu beliau menjadi Timbalan Presiden UMNO.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden, saya berikrar sentiasa taat setia dan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Najib. Saya menjadikan kesetiaan dan kesanggupan bekerja keras untuk membantu Presiden kita untuk memimpin UMNO untuk menjayakan agenda perjuangan bangsa kita ini.

Sebagai timbalan presiden saya berikrar untuk menyokong dan membantu presiden memperkukuhkan parti kita dan melaksanakan agenda perubahan demi untuk kebaikan kita demi untuk untuk kebaikan rakyat jelata demi untuk kebaikan negara Malaysia yang kita cintai ini.

Saya juga mengharapkan bimbingan, nasihat dan teguran Datuk Seri Presiden bagi membolehkan saya melaksanakan tugas dan amanah yang telah diberikan parti ini dengan jayanya.

Sebenarnya ada beberapa keutamaan yang harus kita berikan perhatian untuk memastikan kelangsungan perjuangan UMNO yang kita kasihi ini. Landskap politik negara sudah berubah.

Selepas pilihan raya umum yang baru lalu kita telah pun melihat akan jelas dan nyata keputusan yang telah dibuat oleh rakyat terutamanya oleh generasi muda kita.

Ini harus menjadi iktibar dan pengajaran bagi kita. Maka sebab itulah saya percaya penting untuk kita kita memastikan beberapa perkara-perkara pokok yang harus kita berikan perhatian.

Seperti soal untuk menyegerakan proses pemulihan dan penambahbaikan dan pembaharuan atau pun transformasi yang harus dilakukan di dalam UMNO kita.

Usaha yang harus kita buat dan laksanakan secara cepat dan segera bagi memperkukuhkan usaha-usaha komponen-komponen parti BN pastinya penting untuk memastikan sokongan rakyat jelata dari segenap peringkat dan kaum di dalam negara ini akan terus kukuh.

Demikian juga dalam soal-soal yang lain, isu yang kita sedari hari ini yang pastinya tidak boleh kita abaikan iaitu soal yang yang berkaitan dengan langkah-langkah yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh kepimpinan parti dan kerajaan kita iaitu untuk memastikan dalam situasi ekonomi global yang cukup hebat pada hari ini.

Usaha-usaha untuk sama-sama kita laksanakan di semua peringkat bukan saja di dalam kerajaan atau pun di kalangan rakyat jelata khususnya di kalangan ahli UMNO ialah untuk membantu supaya usaha-usaha memulihkan ekonomi dalam negara kita dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.

Kita harus mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Presiden parti dan Timbalan Presiden yang baru-baru ini telah mengumumkan sejumlah peruntukan yang cukup besar iaitu sejumlah RM67 bilion yang disediakan untuk memastikan bahawa ekonomi negara kita akan terus berada dalam keadaan yang mantap tidak akan menghadapi kegawatan ekonomi yang serius sebagaimana yang dihadapi oleh banyak negara-negara yang lain.

Demikian juga soal yang tidak kurang penting bagi kita untuk memastikan kestabilan politik dalam negara kita perlu kita pertahankan.

Hubungan baik antara kaum di dalam negara yang menjadi teras kepada pembangunan negara kita perlu kita pastikan supaya ia tidak tergugat dengan beberapa tindakan-tindakan yang tidak bertanggung jawab yang telah dan sedang diambil beberapa pihak tertentu di dalam negara kita khususnya parti-parti pembangkang, khususnya pihak-pihak tertentu yang berkepentingan membangkitkan isu-isu sensitif, perkara-perkara yang telah kita sepakati yang telah terkandung di dalam perlembagaan di dalam negara kita ini.

Maka oleh sebab itulah saya berpendapat tugas dan tanggung jawab yang harus kita pikul bersama-sama untuk membantu kepimpinan Yang Amat Berhormat Presiden parti kita adalah amat besar sekali.

UMNO adalah sebuah parti yang penuh tradisi. UMNO adalah sebuah parti massa dan bukan parti elitis. Sejak penubuhannya UMNO telah pun membuktikan bahawa kekuatannya adalah kepelbagaian yang wujud di dalamnya.

Justeru itu baik dari kelompok mana sekalipun seseorang itu datang percayalah bahawa UMNO adalah parti untuk semua orang Melayu dan dapat mewakili pelbagai kepentingan yang wujud dalam masyarakat Melayu dan bumiputera serta kaum-kaum yang lain di Malaysia.

Kita perlu menyantuni semua kelompok ini agar orang Melayu boleh bersatu dan bermuafakat di bawah panji dan wadah perjuangan yang sama.

Justeru saya menyeru semua orang Melayu di mana saja mereka berada untuk bersama-sama dengan UMNO menjayakan agenda perjuangan bangsa demi masa depan anak cucu di negara tercinta kita ini.

Saya minta izin kepada yang berbahagia pengerusi tetap untuk sama-sama kita mengalukan kehadiran tokoh dan pejuang bangsa kita Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir bin Mohammad dan Yang Amat Berbahagia Tun Siti Hasmah.

Kehadiran Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah pastinya satu detik peristiwa yang kita tunggu-tunggu dan kita percaya pada hari ini Tun akan masuk UMNO secara rasminya.

Dan ini pastinya satu peristiwa yang sangat bersejarah iaitu kehadiran Tun ini sebagai satu endorsement kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO yang baru. Alhamdulillah, apa yang kita cita-citakan telah dimakbulkan oleh Allah.

Cabaran yang terdekat ialah pilihan raya kecil yang akan kita hadapi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air. Dua bukit satu batang.

Sebagai pengarah pilihan raya yang baru dilantik saya mengajak saudara-saudara sekalian untuk turun bersama kepimpinan yang lain. Kita akan membawa semangat peraduan dan perubahan yang telah dicetuskan di sini.

Di ketiga-tiga medan perjuangan kita, dan kita akan gempur seluruh kawasan yang ada di situ, kubu pembangkang, pastikan kita berjaya capai keputusan cemerlang di ketiga-tiga.

Marilah sama-sama kita meniupkan semangat perpaduan dan rapatkan saf perjuangan dengan menghayati firman Allah dalam surah Ali Imran.

‘‘Berpegang teguhlah kamu di tali Allah yakni agama Islam, dan janganlah kamu bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan ketika jahiliah dahulu.

‘‘Lalu Allah menyatukan di antara kamu, hati-hati kamu dengan nikmat Islam. Maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka di sebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah, lalu Allah selamatkan neraka itu disebabkan nikmat Islam juga. Demikian Allah jelaskan kepada kamu supaya kamu dapat petunjuk hidayah,’’

Pada akhirnya saya ingin sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih. Tetapi izinkan saya rakamkan ucapan terima kasih yang istimewa khususnya kepada seorang insan yang beri inspirasi dan kekuatan untuk saya teruskan perjuangan saya, iaitu isteri saya, Noraini.

Terima kasih. Sekian Wabillahitaufik Walhidayah.

No comments: