Monday, August 9, 2010

SAYA BERSETUJU & MOHON KEWAJARAN SEKOLAH PELAJAR HAMIL DI MALAYSIA DITERIMA MASYARAKAT DENGAN PENUH KETERBUKAAN!






Pelbagai POLEMIK dan PANDANGAN SINIS timbul apabila KERAJAAN NEGERI MELAKA dibawah kepimpinan DS ALI RUSTAM,telah mengusulkan PENUBUHAN SEKOLAH HAMIL, iaitu sekolah khusus/khas untuk pelajar hamil yang mana ianya dibiayai kerajaan Melaka akan dibuka di Jasin dalam masa terdekat ini. Difahamkan sekolah ini di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di bekas bangunan rumah kadi daerah itu adalah untuk mereka yang secara sukarela mahu ke situ. Pendekatan kerajaan negeri ini yang begitu prihatin untuk membantu keluarga miskin menikahkan anak mereka bertujuan mengurangkan isu hamil di luar nikah dalam kalangan pelajar dilihat wajar diberi SOKONGAN PADU dan setidak-tidaknya, usaha ini dirintis bagi mengurangkan permasaalahan MORAL yang berlaku mutakhir ini di kalangan muda-mudi.

Hakikatnya, amat sukar untuk kita mencari jalan penyelesaian terhadap KES BUANG BAYI ini, yang mana terdapat remaja tegar yang terjebak kepada pelacuran dan sukar untuk balik kepada pangkal jalan setelah mengandung anak luar nikah dan natijahnya, BAYI yang tidak berdosa itu menjadi mangsa. KES BUANG BAYI sukar dibendung dan cadangan yang dikemukan oleh KERAJAAN MELAKA ini mampu menjadi PERINTIS kepada usaha-usaha MEMBENDUNG gejala tidak bermoral ini dan bukannya dianggap sebagai PEMANGKIN kepada isu yang tidak berpenghujung ini. BUKAN PENYELESAIAN MUKTAMAD yang dicari, tapi sekurang-kurangnya USAHA MURNI yang penuh penelitian dan tanggungjawab ini daripada KERAJAAN NEGERI MELAKA harus disokong sepenuhnya oleh kita semua. Kita tunggu dan lihat akan perkembangan terkini dan development yang bakal berlaku berhubung isu ini.

Berikut merupakan ULASAN-ULASAN MASYARAKAT untuk diberi penelitian sewajarnya:

1.Sekolah pelajar hamil bukti perzinaan serius
Mohd Ali Hashim

ALOR SETAR, 6 Ogos: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, cadangan Kerajaan Negeri Melaka untuk mewujudkan sekolah khas bagi pelajar hamil menggambarkan betapa serius dan dahsyatnya perzinaan dan kemungkaran berlaku di dalam masyarakat hari ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan yang berlaku ini adalah disebabkan kegagalan Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang memerintah harus berani berperanan bagi mencegah kemungkaran dan bukannya memelihara hasil dari perbuatan mungkar tersebut,” katanya.

Katanya, kerajaan yang memerintah tidak berusaha dengan serius ke arah menentang kemungkaran tersebut.

“Apa yang mereka lipatgandakan usaha ialah kempen membayar zakat. Mana ada kempen menentang zina. Pegawai-pegawai di pejabat agama hanya turun padang untuk banteras khalwat,” ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat.

Namun begitu, katanya tiada pendidikan yang diberikan kepada kumpulan yang ditangkap itu yang menunjukkan BN sebenarnya gagal untuk membawa Islam dan syariat kepada umat Islam sepenuhnya.

Tambah beliau lagi, walaupun negara mempunyai Pusat Islam, Jakim, Yadim setiap negeri mempunyai jabatan dan majlis agama serta mufti tetapi sehingga hari ini umat Islam tidak dapat hidup dalam tuntutan syariat Islam yang sebenar.

Tambahnya, Umno dan BN sememnangnya gagal untuk membentuk peribadi masyarakat, maka rakyat harus berani untuk membina politik baru.

“Setelah begitu ramai mengandung anak luar nikah baru hendak diwujudkan sekolah, akhirnya rakyat menjadi mangsa kepada sistem pentadbiran yang ada sehingga imej negara dan agama tercemar," ujarnya lagi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain pula berpandangan dengan wujudnya sekolah itu di Melaka, dibimbangi wujudnya unsur-unsur menghalalkan atau mengiktiraf perzinaan.

Akhirnya, kata beliau akan memberi peluang baru kepada remaja dan generasi muda yang cetek pengetahuan agama untuk terus terlibat dengan aktiviti negatif itu.

"Cadangan Kerajaan Melaka itu harus dilihat dari skop yang luas supaya ia tidak memberi satu pengiktirafan yang memungkinkan berleluasanya kegiatan mungkar ini setelah ruang disediakan bagi mereka melahirkan anak luar nikah,” ujarnya.

2. Daripada Dr. Shafie Abu Bakar
Friday, July 30, 2010
Sekolah Pelajar Mengandung ?
BBB, 17 Sya'ban = 29 Julai (Khamis):

Begitulah berita di dalam beberapa media cetak hari ini. Cadangan ini datangnya dari seorang Ketua Menteri – Ali Rustam. Termenung kita seketika dengan cadangan ini, wajarkah diadakan Sekolah Pelajar Mengandung? Bernaskah cadangan ini ?

Sepintas lalu adakah cadangan Ketua Menteri Melaka ini di dalam konteks negeri Melaka menandakan beliau lebih peka dan mendahului negeri lain? Statistik yang dicatat secara rasmi tentang pembuangan bayi sejak 2005 – 2010 adalah sebagaimana berikut:

(Sumber: Sinar, Khamis, 8 April 2010: 1 - 2).

Berdasarkan catatan di atas Melaka tidaklah serius dengan pembuangan bayi. Tapi melihat keseluruh Negara, khususnya Selangor adalah serius dan membimbangkan. Cadangan yang bernas dan lebih efektif ialah melihat kepada gejala-gejala yang membawa kepada Pelajar Mengandung dan Membuang Bayi dan membasmikan gejala-gejala tersebut.

Adapun cadangan mendiri atau mewujudkan Sekolah Pelajar Mengandung, seolah-olah melihat gejala mengandung di kalangan pelajar perkara biasa dan bukannya bersalah. Sebarang kejadian mengandung, maka Kerajaan sedia mengambil tanggungjawab. Akibatnya akan berleluasalah gejala mengandung di kalangan pelajar. Sebagai natijah semakin meningkatlah statistic pelajar mengandung dan juga semakin banyaklah berlaku pembuangan bayi. Mahukah kita dengan fenomena sedemikian ?.

Pelajar mengandung adalah diakibatkan oleh:

* Dasar pendidikan Negara yang kurang menekankan akhlak, moral dan tidak
berfokus mendidik warga Negara kepada berkeperibadian tinggi.

* Dasar hiburan Negara yang tidak berfokus kepada pendidikan akhlak
Sekolah kurang memberi penekanan kepada nilai agama dan moral
Ibu bapa tidak memberi perhatian terhadap anak-anak, khususnya dari persoalan agama dan moral
Ibu bapa tidak mengawal anak-anak daripada membaca dan menonton bahan-bahan lucah.
Ibu bapa tidak menghadkan pergaulan anak-anak - mereka dibiarkan bebas.
Membiarkan anak-anak keluar khususnya di kota dan bandar bersendirian

Bagi membasmi gejala pelajar mengandung hendaklah mengambil pendekatan yang holistic melibatkan dari peringkat atas dari aspek dasar dan polisi hinggalah ke peringkat bawah dan akar umbi.

Lantaran itu sesuai dengan kerancakan perbincangan mengenai mau menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR atau sebaliknya hendaklah sama dibincangkan pengisian pendekatan di dalam dasar dan prinsip pendidikan Negara yang mau membentuk generasi yang bermoral dan berkeperibadian tinggi dan Negara janganlah semata-mata mementingkan keuntungan material dan menjerumus, terutama golongan muda ke dalam kehidupan yang bderfalsafahkan hedonisme.

Kurikulum persekolahan pada semua peringkat di samping mewujudkan golongan pelajar yang berilmu hendaklah membentuk pelajar berakhlak dan berkeperibadian tinggi. Kursus-kursus komuniti keluarga bahagia dan pengajian agama hendaklah dirangka bagi keluarga mengikuti dan membentuk keluarga berjaya dan bermoral. Mereka tidak sepatutnya mementingkan career semata-mata bagi yang bekerja, tetapi hendaklah ditanam di dalam diri anak-anak dengan nilai moral, tanggungjawab dan patuh pada nilai agama. Mereka seharusnya tidak dibiarkan bebas tanpa kawalan dan pemantauan. Hendaklah dipupuk bagi semua golongan meletakkan nilai kekeluargaan di tempat yang tinggi dan memandangnya sebagai yang suci dan murni. Kesalahan moral contoh pelajar mengandung dan ibu mengandung di luar nikah bukan saja salah dari segi agama, tetapi dipandang sebagai satu kesalahan besar dari segi sosio-budaya dan kehidupan kemasyarakatan.

Cadangan mengadakan Sekolah Pelajar Mengandung semata-mata , tanpa melihat kepada gejala dan sebab akibat yang memerlukan kepada pembasmian dari akar umbi adalah cadangan yang cetek. Jika pun wujud, pelajar mengandung, maka ianya lebih sesuai dihantar ke Pusat Pemulihan dan apabila benar-benar pulih baru dikembalikan kepada masyarakat.

Sekian.

3.Puteri Umno mahu sekolah pelajar hamil peringkat nasional
August 04, 2010

PAPAR, 4 Ogos – Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata konsep sekolah khas untuk pelajar hamil yang dicadangkan oleh kerajaan Melaka harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata remaja seperti ini seharusnya diberi peluang kedua supaya negara tidak kehilangan generasi yang berpotensi untuk menjadi berguna dan menyumbang kepada pembangunan negara nanti.

“Kita harus terbuka kepada hal ini, ada berlaku gejala sosial seperti ini dan salah satu usaha kita dalam memberi ruang kepada mereka, ialah mewujudkan institusi yang tersendiri supaya mereka boleh meneruskan pembelajaran.

“Mereka ini masih boleh kita didik dan berikan pendedahan supaya mereka menjadi satu golongan yang boleh menyumbang kembali kepada negara. Kita seharusnya ambil cadangan Melaka ini dan diadaptasi di peringkat nasional supaya setiap negeri ada sekolah (sedemikian),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ihya Ramadan dan penyerahan wang zakat serta penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau bagi kawasan Parlimen Papar di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai persepsi negatif beberapa pihak terhadap cadangan penubuhan sekolah itu, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berkata mentaliti bahawa langkah sedemikian menggalakkan aktiviti gejala sosial tidak harus timbul lagi kerana ini merupakan realiti yang berlaku di negara ini dan tindakan sewajarnya harus diambil untuk menangani masalah ini.

“Kita harus menimbang dari segi kejadian pembuangan bayi yang telah berlaku. Apa salah kita guna sekolah ini untuk beri tempat, beri ruang kepada mereka mengadu. Mereka boleh ke sekolah ini untuk menyelamatkan diri daripada terus terjerumus dengan gejala sosial,” katanya. – Bernama

4.Sekolah pelajar hamil, Melaka patut dipuji
Posted on Wednesday, July 28 @ 19:30:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh teori

Respon Oleh: rozmal

"Ada beberapa perkara yang saya tertarik dengan Ali Rustam ni walaupun dia bukan parti yang sama dengan yang saya sertai. Mungkin itu sebabnya begitu sukar Pakatan Rakyat , terutamanya PAS dan PKR untuk menang satu kerusi pun di Melaka.

Dalam bab seks bebas dan gejala sosial beliau memberikan idea-idea yang tidak bercanggah dengan syarak dan praktikal , cuma perlu pengkajian yang mendalam untuk dilaksanakan.

Beliau tidak mencadangkan pendidikan seks di sekolah. Beliau tidak mencadangkan pemberian kondom percuma.

Beliau hanya mencadangkan sekolah khas untuk pelajar terlanjur.

Dan sekarang beliau setuju dengan cadangan menggalakkan pelajar kahwin awal yang tak mampu lagi dah kawal nafsu.

Kerajaan Negeri Sembilan senyap saja ke dalam isu ni ? Macamana pula kerajaan Kelantan , Kedah, Pulau Pinang dan Selangor ? Pahang, Johor dan lain-lain yang ditadbir BN macamana ?

Takkan nak sibuk isu pasir je , isu ketuanan Melayu lah, isu perpaduan Melayu lah. Sedangkan ramai Melayu yang dan terbunting.

Juga baca artikel saya sebelum ini Khutbah Jumaat cerita Sex, banyak Syok di http://waghih.blogspot.com/2010/07/khutbah-jumaat-cerita-sex-banyak-syok.html

*********************

Mstar , Rabu Julai 28, 2010

Melaka Galak Remaja Mampu Supaya Kahwin Awal


MELAKA: Sidang Dewan Undangan Negeri, Rabu, diberitahu, Majlis Agama Islam Melaka (Maim), telah meluluskan dua resolusi iaitu menggalakkan remaja yang berkemampuan berkahwin awal dan membenarkan pelajar mengandung meneruskan persekolahan mereka.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, resolusi Maim bertarikh 18 Mei lepas itu adalah satu rumusan untuk mengatasi gejala sosial di kalangan remaja Melayu di negeri itu.


"Ibu bapa perlu menerima hakikat ini, sekiranya kalangan remaja yang mempunyai nafsu luar biasa untuk bernikah, kita kahwinkan dia dan jangan tahan," katanya menjawab soalan Chua Kheng Hua (BN-Bemban) mengenai indeks jenayah di negeri ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Rabu.


Beliau berkata resolusi Maim itu adalah rumusan bengkel sosial untuk menangani gejala sosial di kalangan remaja dan bagi remaja yang ingin berkahwin awal melakukan demikian selepas menjalani sesi kaunseling.


"Ini untuk mengelakkan maksiat kerana cara halal ini (berkahwin) lebih baik daripada melakukan perbuatan haram iaitu seks di luar nikah," katanya.


Beliau juga berkata, sebanyak 112 kes rogol dilaporkan pada tahun lepas dan 40 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini manakala bagi kes buang bayi, satu kes pada tahun lepas dan tiga kes dari Januari hingga Jun tahun ini.


Mohd Ali berkata, kebanyakan kes rogol melibatkan remaja Melayu dan pada awalnya adalah perbuatan "suka sama suka" sebelum ia diketahui oleh ibu bapa gadis yang terlibat dan membuat laporan polis.


Dewan yang bersidang sejak tiga hari lepas ditangguh kepada tarikh yang akan ditetapkan kelak.


http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/7/28/mstar_berita/20100728185842&sec=mstar_berita

5.Ali Rustam Tetap Nak Tubuh Sekolah Pelajar Hamil
PostDateIconMonday, 26 July 2010 08:23 | PDF Print E-mail

nb

Kerajaan negeri tetap akan menubuhkan sebuah sekolah khas bagi pelajar mengandung jika wujud keperluan, walaupun tidak mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, langkah yang bertujuan menangani gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa itu bukan sebagai galakan kepada remaja untuk terjebak dengan perbuatan hamil luar nikah.

Sebaliknya, menurut beliau, ia lebih kepada tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat yang menemui jalan buntu apabila tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Soalnya, bukan kita galakkan, tapi bila semua orang lepas tangan, tak cuba bantu remaja terbabit selesaikan masalah mereka, ini yang jadi hal seperti kes buang bayi.

"Saya tak perlu sokong-menyokong. Sekarang saya ada masalah budak mengandung, tapi tak ada suami, jadi kerja kita yang pertama adalah mengahwinkan dia dengan lelaki yang menyebabkannya mengandung, lepas itu, remaja perempuan itu boleh sekolah. Jadi apa salahnya?," katanya.

Mohd. Ali berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun Ke-3 Kampung Buku Malaysia Melaka di Cafe Botanikal, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menyifatkan cadangan negeri Melaka untuk menubuhkan sekolah khas bagi pelajar yang mengandung akibat terlanjur atau berkahwin pada usia muda sebagai suatu idea yang pelik dan tidak sesuai dilaksanakan.

Cadangan itu juga katanya, tidak akan menyelesaikan masalah gejala pembuangan bayi malah, dikhuatiri akan menggalakkan lebih ramai pelajar terlibat dalam perbuatan yang tidak bermoral itu.

Mohd. Puad berpendapat ia adalah suatu idea yang agak pelik dan menyamakan apakah selepas ini perlu ditubuhkan pula sekolah khas untuk penagih dadah atau pelajar yang mencuri dan merompak.

Mengulas perkara itu, Mohd. Ali dengan tegas berkata, tidak timbul soal menggalakkan atau menubuhkan sekolah menagih dadah, sebaliknya, cadangan itu bertujuan menyelesaikan gejala yang sudah menjadi bencana dalam masyarakat.

"Kalau bukan begini, apa cara lagi kita nak atasinya?. Murid sekolah sudah mengandung, nak gugurkan tak boleh, jadi kita kahwinkan mereka dan kerajaan negeri akan berikan mereka RM500 untuk urusan kahwin.

"Memanglah kahwin itu terpaksa, tapi apa pilihan yang kita ada? Saya Ketua Menteri dan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), tak kan nak kata ini bukan kerja saya?" katanya.

Tambahnya, sama ada cadangan menubuhkan sekolah murid hamil itu mendapat persetujuan daripada kementerian atau tidak, ia bukanlah satu masalah kepada kerajaan negeri.

"Kalau Kementerian Pelajaran tak setuju saya buka sekolah baru. Saya boleh buat dalam sekolah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) atau sekolah swasta.

"Saya pun sudah bincang dalam mesyuarat MAIM. Mufti kata lepas akil baligh, ikut hukum Islam sudah boleh kahwin dan apa yang kita nak buat ini ikut hukum Islam.

"Lagi elok daripada kita larang anak-anak muda ini kahwin muda, lepas itu mereka berzina dan buang bayi," katanya.

Last Updated (Monday, 26 July 2010 10

6.Sekolah pelajar hamil diteruskan
Posted on July 29th, 2010 in Malaysian Law

Biarpun hasrat Melaka menubuhkan sekolah khas bagi pelajar yang mengandung tidak mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelajaran namun rancangan tersebut tetap akan diteruskan. Sehubungan itu, kerajaan negeri telah melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim sebagai pengerusi bagi menggerakkan penubuhan sekolah berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pelantikan Ab. Rahaman itu berkuat kuasa serta-merta. Menurut beliau, ia merupakan komitmen kerajaan negeri yang serius untuk menubuhkan sekolah tersebut biarpun terdapat beberapa pihak memperlekehkan cadangan mengenainya. ”Saya mencadangkan perkara ini bukan untuk suka-suka tetapi berdasarkan pandangan banyak pihak menerusi rumusan setiap seminar menangani gejala sosial sebelum ini. ”Tiada jalan penyelesaian yang boleh dibuat sekali gus menyelesaikan masalah ini sehinggalah kerajaan negeri mencadangkan perkara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chua Kheng Hwa (BN-Bemban) pada sidang Dewan Undangan Negeri Penggal Ketiga kali ke-12 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Cadangan penubuhan sekolah untuk gadis mengandung yang diumumkan oleh Mohd. Ali baru-baru ini tidak mendapat sokongan pelbagai pihak kerana menyifatkannya sebagai tiada keperluan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi pula menyifatkan ia suatu idea yang pelik dan tidak sesuai dilaksanakan.

Tambah Mohd. Ali, sekiranya sekolah pelajar hamil itu berjaya ditubuhkan, ia diharap mampu membantu golongan terbabit mengharungi kehidupan sepanjang tempoh mengandung. ”Tiada salahnya jika sekolah ini diwujudkan kerana ia bertujuan baik dan digalakkan oleh semua agama termasuk Islam, apatah lagi cadangan itu turut dipersetujui oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya,

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID

pengarang@utusan.com.my

MELAKA 28 Julai -

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

7.Isu Sekolah Khas Pelajar Hamil
Terjah pendapatSaya sudah banyak kali mengulas perkara yang berkaitan dengan moral remaja dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Seperti lazimnya, saya tidak mahu menulis panjang tentang hal itu.

Namun, langkah kerajaan negeri yang mahu menubuhkan SEKOLAH PELAJAR HAMIL jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah moral dalam kalangan remaja. Walhal situasi kronik ini sering dinafikan oleh sesetengah pemimpin, agensi kerajaan, NGO, ibu bapa, dan anggota masyarakat. Sindrom penafian ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan yang lebih teruk terhadap moral remaja malah impaknya dapat kita lihat dalam usaha melahirkan masyarakat berminda kelas pertama dan masyarakat yang bermoral tinggi untuk membangunkan negara pada masa akan datang.

Blog ini pernah menyiarkan berita tentang budak semuda 9 tahun merogol rakan sekelasnya beramai-ramai, blog ini juga pernah menyiarkan budak berusia 11 tahun merogol sepupu sendiri. Bagaimana pula dengan jumlah hampir ratusan ribu anak yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan? Semuanya berlaku di MALAYSIA bukannya di Amerika Syarikat atau di negara Barat yang lain. Berdasarkan beberapa kiriman yang tidak pernah terfikir oleh akal kita akan berlaku dalam masyarakat Malaysia, maka jelaslah bahawa tindakan bersifat preventif perlu dilaksanakan segera agar tindakan "nasi sudah menjadi bubur" seperti menubuhkan sekolah untuk pelajar hamil diambil yang akhirnya akan memalukan dan merendahkan martabat masyarakat di negara ini yang majoritinya beragama Islam.

Apa tindakan preventif yang perlu dilaksanakan? Islam telah menunjukkan caranya, baik dari segi tatacara dalam kehidupan, mahupun hukuman untuk menyedarkan penganutnya; sekolah dan guru perlu diberi hak untuk menghukum berdasarkan peraturan yang ditetapkan; ibu bapa perlu dipertanggungjawabkan atas salah laku anak-anak; undang-undang tegas perlu diperuntukkan untuk menangani hal ini, dan seribu macam solusi untuk memastikan perkara ini tidak berlarutan.

Semoga kita sentiasa mengingati BALA Allah SWT.

Saya petik:

[UM] MELAKA 23 Julai - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan sebuah sekolah khas bagi pelajar yang mengandung akibat terlanjur atau mereka berkahwin pada usia muda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau serius mewujudkan sekolah tersebut kerana ia bertujuan menangani gejala pembuangan bayi yang kini semakin berleluasa.

Menurut beliau, adalah lebih baik remaja-remaja yang bermasalah itu terus bersekolah daripada terbiar dan mungkin bertindak membuang bayi.

"Cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran kerana undang-undang di negara ini tidak sebut pun bahawa murid yang bersekolah tidak boleh mengandung.

"Saya akan kemukakan cadangan ini dalam tempoh terdekat dan jika kementerian tak setuju, kerajaan negeri sendiri akan tubuhkan sekolah murid mengandung ini," katanya.

Mohd. Ali berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Rendah Arab (SRA) Jabatan Agama Islam (JAIM) Batang Tiga Timur di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md. Amin; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Ghazale Mohamad; dan Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu.

SRA JAIM Batang Tiga Timur dibina dengan kos RM1.2 juta dan mula beroperasi pada awal Januari lalu dengan 378 murid.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, selain dibuka kepada remaja di negeri ini, kerajaan negeri juga sedia menerima pelajar mengandung dari negeri lain.

"Kalau ada pelajar dari negeri lain yang mengandung dan nak belajar di sekolah itu pun boleh, kita terima asalkan ia dapat membanteras gejala pembuangan bayi," katanya.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan maksiat daripada terus berlaku dan bukan menggalakkan pelajar berkahwin dan mungkin bercerai pada usia muda.

"Apa yang penting kita nak selesaikan masalah remaja berzina dan selepas itu pada masalah buang bayi.

"Soal cerai itu nombor dua. Sekarang orang yang kahwin tua pun ramai juga yang dah bercerai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sebagai galakan kepada remaja yang masih bersekolah untuk berkahwin pada usia muda, kerajaan negeri juga telah mempunyai dasar memberi saguhati kepada pasangan remaja terbabit sebanyak RM500 untuk urusan perkahwinan.

Tambahnya, dasar tersebut telah dibincangkan bersama MAIM dan diluluskan pada mesyuarat Exco dua bulan lalu.

"Kalau ada remaja yang masih bersekolah dan bercadang berkahwin, kerajaan negeri akan beri mereka RM500 untuk mengadakan kenduri secara ringkas dan kecil-kecilan.

"Bila sudah ramai berkahwin, kita akan tempatkan mereka di sekolah murid mengandung dan untuk teruskan pembelajaran," katanya.

-Rizanizam Abdul Hamid

8.Kahwin muda: Jangan pandang kepada aspek buruk sahaja

BEBERAPA orang penulis yang tulisan mereka tersiar dalam akhbar ini berpendapat perkahwinan pada usia muda akan mendatangkan keburukan. Contohnya, menambah beban kewangan keluarga, rumah tangga porak-peranda kerana pasangan belum matang berfikir dan belum memahami matlamat perkahwinan, anak-anak tidak terurus dan kadar penceraian akan meningkat.

Janganlah kita melihat yang buruk sahaja semata-mata kerana kita tidak bersetuju cadangan pelajar dinikahkan untuk mengelak kes hamil luar nikah. Sewajarnya perkara ini dilihat secara menyeluruh supaya kita dapat membuat penilaian dengan lebih adil dan tepat.

Sebagaimana yang dipersetujui olah Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka, hanya pasangan yang memenuhi ciri-ciri keperluan khusus dibenarkan berkahwin. Latar belakang pasangan akan diteliti dan ditapis untuk melihat kesesuaiannya. Misalnya pasangan lelaki sudah tamat persekolahan dan mempunyai pekerjaan tetap.

Pasangan perempuan pula dijangka sudah menamatkan persekolahan wajib apabila melahirkan cahaya mata atau sudah tidak minat bersekolah dan lebih baik mereka berumah tangga sahaja. Proses pernikahan ini perlu melalui kebenaran Mahkamah Syariah dan persetujuan ibu bapa.

Bukan semua pasangan boleh dinikahkan dengan sewenang-wenangnya. Hanya yang benar-benar layak dan diyakini sahaja dibenarkan berkahwin. Tambahan pula jika mereka terus diberikan bimbingan dan tazkirah secara berkala dalam tempoh tertentu selepas berkahwin, tentulah ini akan meningkatkan penambahbaikan terhadap kebahagiaan rumah tangga. Oleh itu tidak timbullah soal kita menggalakkan pelajar berkahwin. Perlu ingat jika pasangan melakukan zina kerana pernikahan mereka dihalang walaupun mereka layak, siapakah yang akan menanggung dosa?

Memang benar sepatutnya kita membanteras gejala sosial yang menjadi punca remaja hamil luar nikah. Namun masih belum begitu jelas tindakan susulan secara terancang dan langkah menyeluruh secara khusus dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Misalnya langkah untuk menyekat pengaruh pornografi yang dipercayai menjadi satu daripada punca utama salah laku seks.

Bagaimanapun diucapkan tahniah kepada pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana sedang menjalankan program rintis dan telah menubuhkan jawatankuasa teknikal untuk mengkaji keberkesanan program pendidikan kesihatan reproduksi dan sosial (PKRS) di sekolah.

Syabas diucapkan kepada negeri Melaka kerana langkah ini dapat membantu menghindari kes buang bayi dan mengatasi zina.

ZIN MARKAM

Pontian, Johor

10. Sekolah remaja hamil: Jawatankuasa pelaksana ditubuh

MELAKA 8 Ogos - Bagi menyegerakan penubuhan sekolah remaja hamil di negeri ini, kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa pelaksana untuk menggerakkan operasinya yang dijadual bermula September ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jawatankuasa khas itu menumpukan kepada kesesuaian peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, sekolah itu akan beroperasi dalam bangunan yang hanya dikhaskan oleh kerajaan negeri dan tidak melibatkan sekolah agama atau sekolah awam lain.

"Bagaimanapun, sebelum sekolah khas ini beroperasi, jawatankuasa yang baru ditubuhkan ini mengkaji kesesuaian dan memastikan penubuhannya memenuhi keperluan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Forum Khas Menangani Gejala Sosial peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Antara ahli panel yang terlibat dalam forum itu ialah Mufti negeri, Datuk Wira Rashid Redza Md. Salleh; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rahimin Bani dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Mozaimi Mohamad.

Turut hadir pada sesi dialog tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sekolah Remaja Hamil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim.

Mohd. Ali menambah, biarpun sekolah itu ditubuhkan bagi memberi perlindungan dan pembelajaran kepada remaja hamil namun tindakan undang-undang tetap dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya juga sudah mengenal pasti modul pembelajaran yang sesuai dipraktikkan di sekolah khas tersebut.

"Modul pembelajaran yang akan diajar di sekolah khas itu mengikut modul pendidikan kebangsaan sedia ada atau kita boleh menyediakan pengajian agama kepada mereka dalam tempoh setahun," katanya.

1 comment:

wansyazdiana said...

saya jugak sokong tindakan ali rustam ni.apa nak dikisahkan sgt kahwin awal ni.lebih baik dari berzina kan?lps tu buang anak dlm mgkuk jamban pulak.masyarakat kena la berfikiran terbuka dgn tak membuat spekulasi melulu.al least depa amik usaha utk membendung drpd kita yg duk tgk berita smbl goyang kaki dpn tv!smg ali rustamdpt sahamnya di akhirat kelak!skrg di dunia dicemuh xpe!