Monday, October 25, 2010
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010
Perhimpunan Agung UMNO 2010 dirasmikan Presiden UMNO (18Okt-23Okt)
21/10/2010 9:48am
Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran
MENGAWALI ucapan, marilah kita bersama-sama merenung dua firman Allah SWT. Dalam surah al-Baqarah, ayat 143, berbunyi:
“Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam ‘umat pertengahan’ agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas perbuatan kamu”.
Dalam surah Ali Imran, ayat 159 pula terkandung firman yang menyebut:
“Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan itu”.
Alhamdulillah, kita merafakkan sepenuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya.
Jika dihitung dan dicongak, Perhimpunan Agung kali ke-61 menandakan Dewan Merdeka yang bertuah ini, telah menyaksikan persidangan dilangsungkan sebanyak 25 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO telah bertatih dan berjalan begitu jauh didewasakan oleh waktu.
Dalam pada itu, secara sedar atau tidak, selama lebih enam dekad UMNO telah berada di lapangan, menyalakan obor kebangkitan orang-orang Melayu dan membela untung nasib bangsa. Sehubungan itu, dengan tegas kita mahu menyatakan bahawa sepanjang 64 tahun ini, United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO, adalah satu-satunya, suluh yang terang-benderang kepada cita rasa dan nurani orang-orang Melayu.
Kerana itulah, tidak ada seorang pun dapat menafi apatah lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepimpinannya telah menongkah arus, menghilir pasang, sebagai teraju perubah tanah air.
TALI-TEMALI WAWASAN NEGARA
Apa yang kita perjuangkan hari ini, bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya ia adalah penerusan kepada aspirasi bangsa Melayu serta rakyat Malaysia di kala kita membuat keputusan untuk menuntut kemerdekaan. Begitulah, semenjak dahulu, tiga prinsip dan pegangan utama kita yang sentiasa konsisten yakni pertama, kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional. Kedua, Islam sebagai Addin dan ketiganya kemakmuran negara bertonggakkan keadilan sosial.
Jika diimbau sebenarnya, pada awal tahun 50-an, Presiden UMNO ketika itu, Allahyarham Datuk Onn Jaafar telah mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat realiti, bahawa kemerdekaan, tidak mampu dicapai tanpa kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.
Namun, rancangan Onn pada masa itu adalah terlalu progresif bagi ahli UMNO yang merasakan kedudukan bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya, ia telah ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO. Akibat dari itu, Onn telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu bagi meneruskan cita-citanya.
Kendatipun begitu, kita orang-orang UMNO ini bak kata pantun:
Hidup sebumbung, di bawah teratak,
Berlain bantal, satu hati,
Bercerai kasih, bertalak tidak,
Ibarat rambut, bersimpul mati.
Di sudut lain, sekalipun idea Onn pada masa itu tidak dapat diterima UMNO, penggantinya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang telah dipilih menggantikan beliau, menyedari peri pentingnya kerjasama politik pelbagai kaum untuk mencapai kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman kemudiannya mengambil strategi yang pada pandangannya adalah lebih realistik dan mampu diterima majoriti orang-orang Melayu serta pelbagai ras dengan mempelopori satu gabungan bitara antara kaum.
Kerjasama ini, telah dizahirkan buat kali pertama pada tahun 1955, melalui perkongsian kuasa Parti Perikatan yang mengumpulkan UMNO, MCA dan MIC, masing-masing mewakili kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian pula, pasca tragedi 13 Mei 1969, kepimpinan negara menyedari bahawa perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisme politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial.
Oleh kerana itu, selanjutnya, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggubal dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat membaik pulih ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum yang sebelum itu hampir memusnahkan keutuhan perpaduan nasional. Pendekatan baru ekonomi ini, sebetulnya telah dimungkinkan dengan kedinamikan sistem pasaran yang dibina oleh Tunku Abdul Rahman sebelum itu.
Di sini, suka saya menarik kembali perhatian sebahagian daripada kita dan pihak-pihak yang barangkali terlepas pandang bahawa, matlamat Dasar Ekonomi Baru sebenarnya adalah untuk membina perpaduan nasional. Cumanya, alat dasar yang telah digunapakai bersifat sosioekonomi, bukannya politik semata-mata sepertimana yang dilakukan pimpinan terdahulu melalui penubuhan Parti Perikatan.
Dalam helaan nafas yang sama, Tun Razak tidak melupakan kepentingan mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Beliau telah memperbesarkan Parti Perikatan dan membentuk tapaknya melalui penubuhan Barisan Nasional. Menerusi landasan kerjasama serta perkongsian kuasa antara kaum, ia diperluaskan melalui negeri-negeri Sabah dan Sarawak.
Hendaklah jangan kita lupa, jambatan pertama yang dibina antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merentasi Laut China Selatan adalah jambatan politik Barisan Nasional, yakni 11 tahun selepas penubuhan Malaysia. Ia dimantapkan lagi kemudiannya, dengan kehadiran UMNO di Sabah, bumi di bawah bayu, pada tahun 1991.
Sejurus apabila Dasar Ekonomi Baru tamat pada tahun 1990, Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu telah memperkenalkan penyataan arah tuju kebangsaan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Melalui kertas kerja bertajuk Malaysia; Melangkah ke Hadapan yang disampaikannya semasa melancarkan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, beliau mevisikan bahawa, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh tiga dasawarsa.
Pada saat itu, diimpikan menjelang tahun 2020, Malaysia akan menikmati taraf hidup yang sama dengan Amerika Syarikat. Pendapatan perkapita Amerika Syarikat pada masa itu adalah kira-kira dua puluh ribu dolar. Sungguhpun kita tahu, ada pihak yang mengatakan matlamat ini adalah angan-angan Mat Jenin, alasan Tun Dr. Mahathir adalah begitu kemas sekali. Beliau menyatakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru, pukul rata pertumbuhan tahunan negara adalah 6.7 peratus. Jika dalam tempoh 30 tahun hingga 2020, pertumbuhan boleh ditingkatkan kepada tujuh peratus yakni perpuluhan tiga peratus lebih tinggi daripada pukul rata tahun-tahun 1971 hingga 1990, maka wawasan yang dicitakan tidak mustahil untuk dicapai.
Di samping aspek ekonomi, beliau telah menggariskan sembilan lagi cabaran sosiopolitik yang perlu dihadapi sebelum Wawasan 2020 boleh direalisasikan. Paling utama adalah, mengukuhkan perpaduan nasional atau matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia. Pengalaman Dasar Ekonomi Baru menunjukkan bahawa pengagihan saksama hanya akan berlaku dalam ekonomi yang teguh.
Apa yang sangat jelas di sini, bagi memastikan perpaduan nasional, kedua-dua mekanisme politik dan sosioekonomi harus diguna dan dipertemukan. Ertinya, perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial manakala keadilan sosial pula tidak mampu dicipta tanpa kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.
Setelah diamanahkan untuk memimpin parti dan negara kira-kira lapan belas bulan yang lepas, dengan penuh tradisi kesinambungan kepimpinan UMNO yang diserahkan oleh Tun Abdullah, saya telah membuat keputusan untuk tidak mencipta semula roda tetapi untuk mengambil teladan akan kebijaksanaan dan pandangan jauh pendahulu kepimpinan parti dan negara melalui formula yang dicuba serta telah teruji oleh zaman.
Maka, lahirlah falsafah induk 1Malaysia yang merupakan penerusan kepada wawasan pragmatik bapa-bapa kita dalam parti dan kerajaan. Perpaduan nasional adalah sesuatu yang dinamik. Ia harus sentiasa dibajai dan dijaga, jika tidak, ia akan hancur berkecai. Parti Perikatan terbentuk diambang Merdeka bertepatan waktunya, namun pasca tragedi 13 Mei 1969, menyaksikan model ini perlu dipulih rawat melalui Barisan Nasional dan elemen keadilan sosial melalui Dasar Ekonomi Baru.
Kesimpulannya, susur galur dan tali-temali usaha yang dipasak oleh Almarhum Tunku disambung oleh Allahyarham Tun Razak melalui Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Hussein pula dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang tegas dan tulus dalam melaksanakan khidmatnya. Kemudiannya Tun Dr. Mahathir meneruskannya dengan konsep Bangsa Malaysia. Disusuli Tun Abdullah yang membina usaha memantapkan modal insan dan mengolah Misi Nasional dalam meneraju negara.
Sekiranya perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial adalah saling mengikat dan berpilin, maka, selain 1Malaysia, kita memperkenalkan inisiatif Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan Enam NKRAnya serta Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP untuk membina kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.
Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, ETP adalah satu pelan yang komprehensif, merangkumi garis-garis besar Model Baru Ekonomi dan lapan prakarsa strategik. Ia juga mengandungi arah tuju yang jelas dengan 12 NKEAnya serta mekanisme pelaksanaan jitu melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.
Dalam hubungan ini lagi, Gagasan 1Malaysia juga adalah selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang ditunjukkan sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun lagi harmoni, berasaskan Perlembagaan yang mengutamakan serta mempertahankan agama serta keadilan kepada semua pihak. Perlembagaan itu juga melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam.
Jelasnya, ini bukanlah impian baru. Inilah impian abadi negara dari dahulu dan selamanya. Ia adalah gagasan Allahyarham Dato’ Onn, cita-cita Almarhum Tunku Abdul Rahman, harapan Allahyarham ayahanda saya, kemahuan Allahyarham Tun Hussein, aspirasi Tun Dr. Mahathir dan kehendak Tun Abdullah Badawi. Pastinya, ia kini menjadi wawasan saya, bersama Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional dan juga kerajaan.
Saya penuh yakin dan percaya, ia adalah hasrat murni didokong tuan-tuan dan puan-puan yang berada di dalam dewan dan di luar dewan, serta semua rakyat negara tercinta ini. Pendek kata, biar siapa pun kita, di mana jua berada, kita adalah 1Malaysia.
KEPIMPINAN DALAM BUDAYA MELAYU DAN UMNO
Di atas semua ini, jika diteliti, dalam budaya Melayu, hal kepimpinan amatlah pelbagai. Mulai daripada kepimpinan rumah tangga, dusun dan kampung sampailah kepada kepimpinan bangsa dan negara. Oleh sebab besar dan pentingnya pengaruh dalam kehidupan, maka para pemimpin diberi kepercayaan dan tanggungjawab memandu umat seperti mana tercermin dalam ungkapan “adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali-kali menikam belakang, adat memegang kekuasaan, jangan sekali-kali merosak binasakan, adat memegang kebebasan, jangan sekali-kali lupa batasan”.
Makanya, di saat ini, biar apa sekali pun suka duka, pahit maung, kritik cela yang dihadapkan lawan kepada UMNO, tawarikh jelas memperlihatkan bahawa, kita sudah bertahan lebih daripada enam puluh tahun dengan khidmat, jasa dan bakti yang mendalam kepada pembangunan umat Melayu juga negara. Tambahan lagi, kebolehan dan kewibawaan UMNO telah tersanjung tinggi bukan sahaja di rantau sebelah sini malah menjangkau ke seantero dunia.
Sememangnya lagi, sejak puluhan tahun, apa yang diperkatakan bukanlah omongan kosong. Terakam jelas dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar perpecahan kepada perpaduan, daripada pemikiran terjajah kepada pemikiran merdeka, daripada tidak percaya kepada kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang membanggakan, daripada berputus asa kepada penuh harapan.
Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British.
Tidak cukup dengan itu, tersusun kemas dalam rekod negara, parti UMNOlah yang telah menggerakkan kesedaran nasionalisme, semangat patriotisme dan demokrasi politik. Dalam gambaran besarnya, terbukti utuh bahawa, kepimpinan UMNO telah berjaya sebagai teraju ulung yang mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.
Menyongsong kisah-kisah pencapaian itu, kita ingin bertanya, apakah jenis bangsa yang berjaya menunjangi perjuangan hebat ini? Apakah sistem nilai yang dipegang? Persoalannya di sini, bukanlah kita ingin termanggu dengan kejayaan-kejayaan lalu, namun, marilah kita menyingkap apakah kekuatan dan apakah faktor yang menjadi asas kepada keutuhan pertubuhan yang bermakna ini.
Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu.
Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut:
Melayu itu, kaya falsafahnya
Melayu itu, orang yang bijaksana
Akal budi bersulamkan daya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya:
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muallaf bertakrif Melayu
Mendakap realiti semasa Malaysia pula:
Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,
Kita bersama dalam serumpun,
Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan:
Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung
Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat
Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:
Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.
Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.
Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.
Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah.
Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.
Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan.
Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
KEPIMPINAN UMNO - SATU TANGGUNGJAWAB MORAL DALAM PENGURUSAN KAUM
Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk diingat adalah dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam sebuah negara bitara seperti Malaysia.
Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia, setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah SWT.
Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan negara.
Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial, kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri, untuk bekerja keras serta mengambil risiko.
Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan itulah yang menjadi punca masalah.
Sementelah itu, apabila ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ia telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu.
Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana ia berkemungkinan menjadi ancaman kepada perpaduan negara.
Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar eksklusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif.
Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila sejarah dienteng atau dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.
Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.
Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segala-galanya.
Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali. Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain.
Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosio-politik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.
Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini, seperti mana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama. Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapa pun, apabila memungkiri janji.
Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara kita, kerana, masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.
Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.
Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.
Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang.
Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.
Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang seperti mana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam panca prinsip Rukun Negara.
Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezaban kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.
Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.
Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik. Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekali gus terpateri kemas.
Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu. Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.
Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut di letakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan “primordial instinct” atau naluri asal wujud antara etnik.
Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusiawi itu sendiri.
Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi “holocoust” di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.
Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus.
Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu sendiri.
Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudah cara antara kaum.
Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara automatis, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi profesional.
GERAK KERJA UMNO
Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti. Gerak kerja UMNO sebagai sebuah parti siasah mesti berubah. Kendati begitu, UMNO harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa.
Laksamana Hang Tuah menyebut, ‘Takkan Melayu hilang di dunia.” Begitulah, bangsa Melayu terutamanya di rantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis.
Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.
Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam.
Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.
Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.
Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu... seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu... mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.
Justeru, saya sebagai Presiden UMNO... tidak mahu... menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden UMNO beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.
Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa, pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.
Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.
Walhal, jika perkhidmatan awam negara tidak kompeten, sudah lama kita menjadi negara gagal, tidak mungkin pula akan berjaya berkembang sebegini dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden.
Terbukti lagi selama ini, kita telah berjaya tanpa perlu ada pangkalan tentera asing di bumi bertuah ini untuk memberi payung keselamatan. Kita juga berjaya... tanpa perlu keabsahan sebagai negara bangsa yang merdeka dan berdaulat dipertikaikan. Kita juga telah berjaya... bersama pelbagai kaum membina tanah air keramat ini.
Diperakui, kita ada kelemahan, namun kita tetap mampu pada setiap masa bangkit mengatasi cabaran kelemahan yang dihadapkan dengan kudrat, acuan dan cara kita sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.
Mendepani segalanya, UMNO akan tetap menunaikan amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kita melakukannya bukan sahaja semata-mata melalui kata puitis yang muluk-muluk bahkan dengan inisiatif, program dan dasar yang konkrit.
UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.
Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah.
Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.
PENUTUP
UMNO bukanlah sebarang parti, UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru UMNO.
Menjelang 1969, UMNO dan rakan-rakannya telah hilang buat kali pertama majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sekali gus kita dihadapkan dengan rusuhan kaum dan demokrasi terpaksa digantung. Dunia ketika itu, sudah seperti melambai selamat tinggal kepada UMNO. Detik cemas 1987 pula menyaksikan parti berpecah dua dan negara menghadapi insiden ketegangan kaum.
Setahun kemudian, pada 1988, kita berasa amat pilu dan begitu bersedih hati, bagai kilat turun menyambar, bagai garuda datang menyerang, hilang sudah tempat berteduh, patah ranting tempat berpaut, dengan sungguh rasa berhiba-hiba dan pilu, kita terpaksa menerima keputusan dan berita, bahawa, parti UMNO yang sangat berjasa dan menggala baktinya ini telah diharamkan.
Selanjutnya, di akhir tahun 90-an, kita bukan sahaja menghadapi krisis kewangan antarabangsa, kita turut mengalami kemuraman politik apabila ramai orang Melayu telah tidak lagi memberi sokongan. Kita kemudiannya dilintangi oleh tsunami politik pada tahun 2008 yang amat mendebarkan.
Alhamdulillah, walau apa pun jua rintangan, walau apa pun jua dugaan, pada setiap yang terus berusaha, tabah dan bertawakal kepada Allah Yang Maha Kuasa, kemenangan pasti tiba. Syukur, dalam setiap krisis, UMNO telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung berpihak kepada kita.
Semuanya ini kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO terus berpijak di bumi nyata. Semuanya ini juga dimungkinkan kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak pernah sedetik pun pudar keyakinannya terhadap perjuangan benar ini, tidak pernah pula sesaat pun luluh harapan kepada pucuk pimpinan. Pokoknya, pegangan mulia UMNO telah memanfaatkan bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.
Hakikatnya, kitalah parti politik pertama yang berani meluaskan medan pemilihan sehingga melibatkan 140,000 orang ahli. Sebelum kita meminda perlembagaan pun, kita terkenal dengan parti politik yang amat kompetitif pertandingannya.
Demikianlah murninya impian kita. Demikianlah tulusnya langkah keramat UMNO. Demikianlah menggunungnya harapan orang- orang Melayu.
Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang kelam kabut, babrak dan goyah memegang tampuk kuasa? Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan? Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada pengkhianat bangsa dan tanah air?
Sesungguhnya, kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.
Ayuh...
Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi..
Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi..
Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi..
Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..
Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!
Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.
Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010.
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Perhimpunan Agung UMNO 2010 bermula hari ini dengan majlis perasmian oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Majlis dimulai dengan upacara perbarisan dan menaikkan bendera UMNO di Dataran Putra pada pukul 8.30 pagi, diikuti dengan penyampaian ucapan dasar oleh Najib, yang juga Perdana Menteri, di Dewan Merdeka, di hadapan 4,907 perwakilan.
Satu jamuan makan malam sempena perasmian itu juga akan diadakan di Dewan Tun Razak I pada pukul 8 malam ini.
Perhimpunan Agung yang ke-61 ini berlangsung selama lima hari bermula kelmarin dengan perasmian serentak persidangan perwakilan tiga sayap UMNO iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno.
Sempena Perhimpunan Agung kali ini, satu Forum Antarabangsa 2010 turut diadakan bermula Isnin, yang bertajuk “Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik”.
Forum selama dua hari itu yang julung-julung kali diadakan itu dihadiri lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara termasuk 63 peserta dari 22 parti politik dari 20 buah negara, 54 peserta dari Kelab UMNO Luar Negara serta para penganalisis politik. – Bernama
Mimpi-mimpi ke Putrajaya, motivasi untuk UMNO
Oleh Zulkefli Hamzah
SABAN tahun setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, isu berpuak-puak sehingga mengelabui semangat dan kerja berpasukan disentuh oleh para perwakilan.
Tanpa jemu dan ragu pula, kepimpinan terus mengingatkan pentingnya mengukuhkan semangat persaudaraan.
Begitu juga setiap kali berakhir perhimpunan, para perwakilan akan memperbaharui tekad dan ikrar mereka untuk bersama-sama dalam satu pasukan UMNO bagi memperjuangkan bangsa, agama dan negara.
Hal berkaitan pentingnya ahli UMNO berfikir dan bertindak sebagai satu pasukan bukanlah perkara baru. Ia bukan elemen baru UMNO. Ia adalah asas perjuangan yang memungkinkan parti itu terus berkuasa dan menunjangi pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Tetapi setiap kali itu juga, asas perjuangan parti dan semangat perhimpunan agung ini gagal memotivasi segelintir perwakilan.
Malangnya perwakilan itu adalah orang yang sama memegang jawatan penting di bahagian dan cawangan sehingga ia terus menjadi kudis kepada parti.
Lebih buruk, ia telah menjadi punca kegagalan memenangi pilihan raya. Tanyalah kepada mereka yang kalah atau menang tipis pada Pilihan Raya Umum 2008 mahupun pilihan raya kecil selepas itu.
Tiada semangat berpasukan sehingga kepada perbuatan sabotaj menjadi antara puncanya.
Mungkin atas alasan itu, pada perhimpunan kali ini, soal menjaga maruah dan kepentingan parti lebih daripada kepentingan diri serta bertindak bukan dalam kumpulan tetapi pasukan diangkat oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai antara tujuh elemen utama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.
Mementingkan pasukan dalam satu semangat mempertahankan Putrajaya - cawangan menghormati bahagian, bahagian mengutamakan negeri dan negeri mementingkan pusat - akan memungkinkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) melenyapkan mimpi-mimpi pakatan pembangkang.
Dalam keadaan BN yang umumnya belum terarah dan sempurna fokusnya, tidak boleh lagi ada kaki hantuk, ‘batu ronson’ mahupun tukang mandi dalam UMNO.
Jauhkan pula si kaki merajuk yang mengharapkan sokongan apabila dicalon tetapi sebaliknya membuat onar apabila orang lain dipilih.
Dalam keadaan pakatan pembangkang yang obses memburu kuasa, berhiruk-pikuk melempar dusta, sesama UMNO tidak harus bercakaran. Sesama UMNO tidak perlu ada perseteruan dek masalah dalaman.
Orang boleh berkata pembangkang tidak kuat. Mereka boleh menilai parti pembangkang caca marba. Benar, parti tiga kaki ini berbeza ideologi dan haluan yang tidak stabil kedudukannya. Ya, terlalu banyak kepincangan dalam perkongsian kuasa mereka.
Boleh dilihat buktinya di Selangor, Pulau Pinang dan dulunya di Perak. Jika dinilai perilaku-perilaku buruk di negeri-negeri ini, sukar sekali dibayangkan apabila kuasa Putrajaya nanti di tangan mereka.
Justeru, UMNO tidak boleh membiarkan penyakit rakus kuasa dan kepentingan diri yang subur dalam pakatan pembangkang ini turut melekat di tubuh UMNO dan BN. Bagaimana rakyat mahu dibela, bagaimana rakyat mahu diutamakan jika parti tidak kukuh, malah sesama pemimpin saling bercakaran berebut kekuasaan.
Waktunya semakin suntuk. Beberapa bulan lagi, penentuan kuasa Putrajaya akan dikembalikan kepada rakyat.
Jadikan obses pembangkang ke Putrajaya dan caca-marba mereka sebagai motivasi untuk memperbaiki komitmen parti sebagai organisasi yang sentiasa mendahulukan rakyat.
Tujuh elemen yang disebutkan oleh Najib semasa menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden, ekonomi serta pendidikan dan agama berkait rapat dengan sikap ahli UMNO sendiri.
Ia disebut oleh Najib kerana diakui budaya pentingkan diri sendiri dan puak masih wujud dalam tubuh UMNO. Di cawangan mahupun bahagian tertentu, budaya seperti itu - dia orang ini dan itu - masih tebal.
Amalan menyisihkan ‘bukan orang saya’ masih menjadi strategi untuk memastikan kuasa tetap di tangan mahupun sebagai usaha merebut kekuasaan.
Amat malang, inti demokrasi yang bersandarkan suara ramai sering pula disaluti dengan taktik kotor ini. Taktik yang nantinya akan menjadikan mereka sebagai calon, dan akhirnya memegang kuasa.
Mungkin sebab itu, dalam pelan transformasi UMNO yang telah bermula tahun lalu, individu yang boleh menang pilihan raya menjadi elemen penting dalam pemilihan calon pilihan raya. Ke depan, mahu tidak mahu keputusan yang dibuat oleh pusat, bahagian mahupun cawangan akan terarah kepada pemimpin yang boleh menang bagi mempertahankan Putrajaya.
Belajarlah daripada kekecamukan pakatan pembangkang yang gagal dalam misi gelap 16 September. Ambillah iktibar kekusutan dalam kerajaan negeri yang mereka pimpin.
Tetapi janganlah sesekali memandang rendah keupayaan mereka. Misi menamatkan kekuasaan UMNO dan BN terus berkobar di hati mereka. Jangan lagi beri ruang seperti yang pernah diberikan pada pilihan raya umum 2008. Sikap berpuak dalam UMNO adalah kelebihan pembangkang.
Jika tujuh elemen itu terus dibudayakan dengan rakyat sentiasa diutamakan, misi pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya pastinya akan hanya tinggal mimpi. Dalam situasi sekarang, misi membudayakan semula asas perjuangan UMNO itu tidaklah sesukar daripada misi pembangkang untuk menawan Putrajaya. Maka, berubahlah sebelum terlambat.
Masa merealisasikan budaya politik baru UMNO
SAYAP parti UMNO, baik Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sepakat dan insaf akan kekuatan parti orang Melayu itu perlu diperkukuhkan dan kembali mendapat sokongan rakyat bukan sahaja daripada Melayu tetapi juga bukan Bumiputera.
Tetapi jika setakat berbahas dan insaf sahaja tanpa gerak kerja turun padang dan mendekati denyut nadi rakyat, ia tidak memberi apa-apa makna. Sokongan rakyat kepada parti keramat ini akan tinggal di takuk lama.
Budaya banyak cakap dan asyik berbahas siapa betul, siapa salah patut dikurangkan. Sebaliknya amalan bertindak dan melaksanakan apa yang sudah dipersetujui sebelum ini perlu banyak ditekankan.
Kepada perwakilan UMNO yang berkumpul di Dewan Merdeka hari ini, fahami betul-betul mesej dan amanat daripada Presiden UMNO.
Sejak perhimpunan tahun lepas lagi Datuk Seri Najib Tun Razak telah menekankan perlunya UMNO melakukan transformasi jika tidak mahu UMNO diubah.
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 ini juga, Najib masih menggesa ahli-ahli UMNO melakukan transformasi dari peringkat atas sehingga akar umbi.
Dengan keahlian 3.4 juta, sepatutnya UMNO kuat dan mampu mendekati serta mendapat sokongan rakyat. Sesungguhnya, sokongan rakyat kepada UMNO yang merosot pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil yang lalu perlu dipulihkan dengan secepat mungkin sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.
Budaya politik wang dan politik pembangunan yang diamalkan selama ini sudah tidak sesuai dan perlu diubah. Jika UMNO tidak ada masa untuk mengubahnya, kita bimbang hayat parti ini akan berakhir pada pilihan raya akan datang.
Amaran ini sebenarnya sudah diberikan oleh rakyat. Imej dan tingkah laku pemimpin dan orang UMNO perlu berubah agar kembali disenangi dan diyakini oleh rakyat.
Model politik baru atau budaya politik baru mesti diserap oleh ahli parti sudah ditekankan berkali-kali oleh Presiden UMNO. Beliau mahu model budaya politik baru yang bersifat inklusif, terbuka dan demokratik diterjemah dalam bentuk pelaksanaan di kalangan ahli UMNO.
Pembaharuan UMNO tidak boleh hanya 'bersalin kulit' sahaja tetapi mesti melibatkan dari dalam parti iaitu dari segi budaya, pemikiran, tindakan dan pertuturan.
Orang UMNO kena meninggalkan budaya lama seperti hanya mendekati rakyat apabila ada pilihan raya. Jika amalan ini juga masih ditonjolkan kepada rakyat, maka UMNO jangan salahkan pengundi jika parti ini tidak diterima untuk memimpin rakyat.
Orang UMNO kena memikirkan semula apa nawaitu mereka ketika mahu menyertai parti itu dahulu. Apakah matlamat mereka adalah untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air? Atau pemikiran ahli UMNO hanya mahu menjadikan parti ini semata-mata batu lonjatan untuk mendapat kekayaan.
Sebab itu sejak beberapa tahun lalu, rakyat dapat merasakan perjuangan mengejar jawatan hingga melibatkan politik wang amat-amat tidak disenangi oleh mereka. Lantas rakyat telah memberi mesej pada Pilihan Raya Umum 2008.
UMNO tidak boleh mengulangi kesilapan itu lagi. UMNO kena berubah dan melakukan transformasi dalam budaya politiknya. Oleh itu, ahli UMNO diseru fahami intipati amanat Presiden UMNO supaya parti tunjang kerajaan Barisan Nasional ini kembali bangkit untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Politik baru asas transformasi
Oleh MOHD. ZAINUL FITHRI OTHMAN
UCAPAN dasar Presiden amat dinantinantikan oleh perwakilan dan ahli UMNO kerana ia akan memberikan asas arah tuju UMNO pada masa akan datang. Baru-baru ini Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ada memberikan saranan agar UMNO melahirkan satu model politik baru dalam membina negara yang lebih dinamik.
Model Politik Baru UMNO ini akan meningkatkan darjat serta maruah parti ini ke satu tahap yang berbeza dari zamannya yang dahulu dan akan menjadikan UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu yang dihormati oleh semua kaum.
UMNO harus berubah menjadi sebuah parti politik yang bukan hanya mewakili orang Melayu tetapi ia harus menjadi peneraju kepada satu bangsa dalam satu keluarga besar Malaysia berasaskan Perlembagaan negara.
UMNO sudah tidak boleh lagi bersentimen dan bernostalgia akan perkara yang lepas yang sudah menjadi lipatan sejarah tetapi harus menjadi parti politik yang terbuka kepada perubahan dan kehendak orde politik baru di negara ini agar dapat melakar sejarah baru pada masa depan.
Kegagalan untuk mengenal pasti perubahan ini akan membuatkan UMNO menjadi parti yang tua dan tidak relevan kepada aspirasi generasi muda.
Model Politik Baru ini hendaklah berani melakukan transformasi terhadap ahli-ahli parti. UMNO sudah menjadi parti politik yang berwibawa dan matang tetapi adakah ahli dan pemimpin UMNO sendiri sudah matang dalam percaturan politik era baru ini? Apa pun jawapannya, ia haruslah memberi nafas baru dalam UMNO.
Model Politik Baru UMNO ini harus berubah dengan melakukan perubahan dalaman iaitu budaya yang ada dalam UMNO itu sendiri. Dalam usaha Presiden UMNO memastikan UMNO tetap menerajui negara, pemimpin dan ahli UMNO juga harus membantu Presiden merealisasikan impian ini.
Model Politik Baru UMNO ini hendaklah memiliki beberapa nilai penting. Sistem yang ada dalam UMNO sudah baik. Namun sistem yang baik mesti disusuli dengan nilai yang baik agar ia bermanfaat. Nilai tersebut adalah:
1. Keterbukaan
2. Perjuangan untuk rakyat
3. Pencapaian kepimpinan teras kejayaan
4. Bermoral dan ketertiban.
Dalam mencapai elemen keterbukaan, UMNO harus mempunyai satu pelan tindakan transformasinya atau pelan transformasi UMNO (PTU). Budaya keterbukaan ini bukan bermakna kita menerima semua kritikan tetapi menganalisis kritikan yang membina untuk bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu.
UMNO harus melakukan transformasi ini dengan berani. Budaya berpuak-puak dalam UMNO hendaklah dihentikan. Asas kepimpinan adalah hanya satu iaitu membina UMNO yang bermaruah, negara yang berdaulat dan rakyat yang makmur dan sejahtera.
Rakyat mahu melihat UMNO membina sifat keterbukaan. Pemimpin UMNO harus terbuka menerima sesiapa sahaja sebagai sahabat walaupun mungkin dulu dia adalah musuh. Memeteraikan 1UMNO hendaklah menjadi nadi kepada UMNO. Pemimpin datang dan pergi tetapi UMNO akan tetap terus berdiri megah kerana ada ahli mahukan 1UMNO ini menjadi asas perjuangan.
UMNO juga harus terbuka dengan penglibatan orang profesional dalam keluarga besar UMNO. Kalau kemasukan mereka diragui lebih awal, pintu sumbangan ditutup rapat kerana mahu menjaga kedudukan sendiri, maka UMNO akan rugi.
UMNO juga harus terbuka untuk bersahabat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi teras pembinaan dan kewujudan UMNO dahulu. NGO yang menyokong UMNO ketika mahu menentang Malayan Union. Janganlah pula UMNO mengetepikan mereka. Sifat keterbukaan ini akan menjana ruang kepada mereka yang mahu bersama UMNO.
Kepimpinan adalah flagship kepada UMNO. Tindak-tanduk pemimpin mencorakkan warna UMNO itu sendiri. UMNO harus bergerak dengan ikhlas dan penuh kejujuran. Menjuarai rakyat harus diterjemahkan dalam bentuk yang nyata dan bukan dibuat-buat. Impak keikhlasan dan kejujuran ini amat besar maknanya dalam jangka masa panjang.
Sentuhan listrik pemimpin kepada rakyat akan dirasai sampai ke anak cucu sebagaimana yang telah dilestarikan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Janji yang dibuat hendaklah dikotakan. Jangan keikhlasan dan kejujuran itu dibuat hanya untuk meraih undi dan bersifat bermusim, maka rakyat juga akan bersifat bermusim terhadap UMNO.
UMNO harus berteraskan Rakyat Didahulukan. Jika rakyat sudah memberikan nilai yang tidak baik maka nilai ini akan menjadi virus dan penyakit ini akan membiak dalam sistem kekeluargaan dan akhirnya UMNO tidak dipercayai sebagai payung untuk mereka.
Transformasi ketiga adalah kepimpinan hendaklah berasaskan kepada outcome base atau satu tindakan yang berasaskan kepada pencapaian dari hasil kepimpinan. Tindakan atau perancangan mesti melahirkan outcome dan bukan hanya menjadi bahan memuatkan agenda di dalam buku laporan persidangan UMNO.
Model Politik Baru UMNO hendaklah menjurus kepada pencapaian dan bukan kepada penonjolan individu atau mengetengahkan personaliti. Matlamatnya agar rakyat merasa kewujudan UMNO itu sentiasa tersemat di dalam minda mereka. Kita tidak mahu apabila pemimpin itu pergi atau sudah bersara maka mereka sudah tidak lagi mahu mengingati UMNO.
Jika perancangan yang dibuat mempunyai outcome base maka keyakinan untuk ahli dan juga rakyat mengingati UMNO sebagai pemimpin mereka akan terasa. UMNO harus dirasai sebagai pemimpin dan peneraju.
Moral dan ketertiban adalah jiwa dan rohani ahli UMNO. Model Politik Baru harus berasaskan kepada moral yang tinggi dan adab serta ketertiban yang baik agar terus disayangi. UMNO tidak boleh memohon disayangi oleh ahli atau rakyat tetapi sayang dan hormat ini hendaklah diperoleh daripada rakyat. Rakyat akan hormat dan sayang kepada UMNO jika mereka rasai kenikmatan daripada hasil kepimpinan UMNO. Bukan bererti UMNO tidak memberi tetapi kalau memberi biarlah terasa sampai ke tulang.
Model Politik Baru UMNO boleh membawa satu perubahan besar dalam UMNO. Ahli-ahli dan pemimpin hendaklah memahami model yang akan disarankan dalam perhimpunan agung ini.
Hanya dengan nilai yang baik dan diterima oleh rakyat maka UMNO akan sentiasa relevan kepada mereka. Yang penting adalah mengurus tadbir lebih 15 juta pengundi dan lebih daripada tiga juta ahli UMNO. Hanya UMNO sahaja boleh melakukannya.
Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman Naib Presiden Universiti Sains & Pengurusan dan Pengarah Institute of Leadership and Human Analysis Malaysia.
Mencari idealisme yang hilang
Oleh HASHIM SUBOH
"SELAMAT datang ke 'Pesta Puji Memuji UMNO' yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ia satu pesta yang pasti terus melemahkan parti keramat orang Melayu yang sememangnya sudah semakin lemah. Pesta ini lebih membimbangkan daripada pesta muda-mudi yang kononnya telah lupa diri.
Hakikatnya, muda-mudi yang lupa diri masih boleh diselamatkan oleh pemimpin yang kuat jati dirinya. Tetapi kalau pemimpin sudah lupa diri, jangan kata muda-mudi, bangsa pun tidak dapat diselamatkan, bahkan negara juga boleh tergadai.
Wahai perwakilan ke 'Pesta Puji Memuji UMNO' ini… insaflah. Bangsamu semakin dihina. Agamamu telah dinodai kesuciannya. Tanah pertiwimu juga hampir tergadai. Fikir-fikirlah… tegurlah pemimpinmu dengan berani. Berani kerana benar. Berani kerana agamamu, bangsamu dan tanah pertiwimu!"
Mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada seorang rakan ini pasti akan menimbulkan pelbagai reaksi andainya dijadikan tangkal azimat yang dikalungkan ke leher dan melabuh di dada setiap perwakilan dan pemerhati ke Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 ini.
Dalam menghadapi realiti politik semasa dan ditambah dengan ikrar dan iltizam untuk memastikan UMNO berubah, SMS yang cukup sinikal ini perlu diterima sebagai cabaran untuk memartabatkan Perhimpunan Agung UMNO sebagai platform perjuangan yang paling tinggi dan berpengaruh serta mampu melahirkan gagasan, rumusan dan keputusan-keputusan besar yang memberikan impak langsung kepada bangsa, rakyat dan negara.
Perhimpunan Agung UMNO bukanlah pentas kerajaan di mana pemimpin parti datang dengan baju Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Menteri-Menteri Besar dan sebagainya. Ia juga pastinya bukan pentas untuk suka-suka, pantun memantun, sajak menyajak, seloka dan gurindam, puji memuji, ampu mengampu dan lawak melawak semata-mata.
Perhimpunan Agung UMNO adalah dewan tertinggi parti untuk perwakilan membawa suara akar umbi, melontarkan pandangan, cadangan, teguran dan kritikan serta kemudiannya mencapai konsensus yang perlu dijadikan dasar dan keutamaan parti. Ia perlu dihadam oleh pemimpin kerana itulah martabat sebuah perhimpunan agung.
Melihat beberapa siri Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU Ke-12), kita masih ternanti-nanti apakah 'perubahan' yang dijanjikan itu akan benar-benar berlaku.
Perwakilan dan pemerhati rata-ratanya masih datang dengan 'gaya dan perwatakan' yang sama seperti mana ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) begitu gagah di persada politik tanah air. Baju Melayu dan kemeja linen mereka sentiasa segak dan baru walaupun isi dan gaya perbahasan masih mendatar dan tidak banyak berubah.
Perhimpunan Agung UMNO mutakhir ini tidak lagi mampu menghasilkan keputusan-keputusan besar, gagasan-gagasan yang menyerlah ataupun agenda-agenda yang serius dan meyakinkan. Jika pun ada pembahas agak berani, ia masih berada pada dasar yang dangkal dan tidak mampu diangkat menjadi cetusan atau ledakan besar.
Kita dapat menjangkakan bahawa agenda transformasi akan mendominasi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 ini. Tidak mengapa. Berbahaslah habis-habisan tentang transformasi yang ingin dilakukan agar parti sentiasa terkehadapan dan sentiasa bersiap siaga menghadapi tuntutan zaman.
Sambil Dewan Merdeka dighairahkan dengan agenda transformasi, kita juga perlu berani mengajak pemimpin UMNO untuk merenung sedalam-dalamnya bagi memahami akar kepada masalah yang menyebabkan UMNO dan BN tidak lagi mendapat sokongan padu rakyat. Apakah semuanya kerana UMNO ini adalah parti yang jumud, beku dan kaku serta enggan berubah? Lalu jawapan kepadanya adalah dengan melakukan transformasi!
Sambil menerima bahawa telah tiba masanya untuk UMNO melakukan transformasi ataupun ditransformasikan, UMNO sebenarnya amat perlu mencari kembali idealismenya yang hilang. Kehilangan idealisme inilah yang menjadikan parti ini tidak lagi mahu dan mampu menjuarai isu-isu agama, bangsa dan rakyat di peringkat akar umbi dan nasional.
Kecelaruan idealisme ini juga menyebabkan kepincangan dan kelemahan kerajaan tidak mampu diperbetulkan sehingga menggelisahkan rakyat dan menjadikan pemimpin yang diangkat di atas kelihatannya cukup angkuh dan lupa diri.
Kini, kedangkalan idealisme telah menjadikan sebilangan pemimpin muda UMNO memberikan keutamaan yang salah kepada program-program syok sendiri yang kesannya tidak sampai ke mana. Sementara kedangkalan idealisme tetap memberikan laba politik yang besar yang ditandai oleh gelaran Datuk dan Datuk Seri, kereta besar dan motosikal berkuasa tinggi, baju linen putih dan berwarna-warni.
Rata-rata pemimpin muda UMNO masih mencari definisi tentang apa itu perjuangan dan apa itu yang perlu diperjuangkan. Lihat sajalah wawancara bersama Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di dalam Mingguan Malaysia. Pelurunya hanyalah peluru kapur yang sipi dan tidak mengenai sasaran.
UMNO juga telah kehilangan warnanya yang asli kerana idealisme perjuangannya sudah dicemari oleh ketamakan, kerakusan dan keangkuhan kuasa. Kerana itu, sebilangan pemimpin kanan UMNO hanya mesra bermusim yakni semasa musim pemilihan parti serta semasa Perhimpunan Agung UMNO dan Pilihan Raya Umum.
Di luar dari musim-musim ini, mereka kembali menyarung baju rasmi yang terlalu formal dan autoritatif serta enggan turun ke padang. Justeru, agenda perjuangan bangsa terus terperangkap dengan cerita tidak pernah tamat ataupun the never ending story.
Persis seorang doktor yang tidak langsung mahu memeriksa sendiri masalah pesakit, pemimpin yang liat mendekati rakyat pasti tidak akan menjadi pemimpin yang berkesan dan mampu melahirkan tindakan-tindakan yang tepat dalam merawat dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Selepas pemimpin-pemimpin UMNO dan pejuang-pejuang bangsa masa lalu mencetuskan idea-idea besar yang melahirkan Felda, Felcra, Rida-Mara, Tabung Haji, Amanah Saham Nasional dan sebagainya yang ternyata telah memberikan impak yang amat besar terhadap rakyat dan bumiputera, kita sesungguhnya ternanti-nanti apakah Perhimpunan Agung UMNO ini mampu melahirkan idea-idea besar seperti itu.
Datuk Hashim Suboh ialah bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis dan Naib Presiden Alumni 4B Malaysia.
Kedudukan Melayu dalam Perlembagaan tidak akan tergugat
SETELAH beberapa bulan Raja-Raja Melayu tidak henti-henti menyuarakan hal melibatkan kepentingan agama dan Melayu sebagai mana yang termaktub dalam Perlembagaan, ucapan dasar Presiden UMNO semalam menegaskan kedudukan sebenar Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah sesuka hati.
Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam amanatnya bertekad mempertahan dan melindungi kedudukan dan hak-hak orang Melayu dan bumiputera.
Mesej itu bukan untuk pengetahuan ahli-ahli UMNO sahaja tetapi juga kepada semua orang Melayu dan bukan Melayu. Setelah sekian lama isu-isu melibatkan kedudukan Melayu dan bumiputera diperkatakan baik oleh pemimpin pakatan pembangkang mahupun pemimpin bukan Melayu tertentu dalam komponen Barisan Nasional sendiri, maka kenyataan daripada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri ini harus diterima oleh semua kaum.
Kontrak sosial yang sudah dimeterai oleh bapa-bapa pengasas yang mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan dahulu bukan 'senang-senang' diubah mengikut siapa yang berkuasa.
Walaupun BN atau pakatan pembangkang mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun tidak akan mampu mengubah satu perkataan pun dalam Perlembagaan jika tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
Ini bermakna tindak-tanduk pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan kedudukan Melayu dan bumiputera hanya sia-sia.
Penegasan Presiden UMNO tentang 'kekebalan' Perlembagaan negara dan kedudukan hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera memperlihatkan agenda Melayu masih kuat dalam diri Najib.
Dalam konteks ini, apakah Perdana Menteri yang menjelaskan kedudukan sebenar perihal Perlembagaan negara juga akan dituduh perkauman atau rasis sebagaimana dilemparkan oleh pemimpin bukan Melayu kepada Utusan Malaysia dan Perkasa?
Hakikatnya Najib kena menyatakan perkara sebenar. Beliau memahami denyut nadi, kegusaran dan kekhuatiran orang Melayu dan bumiputera sekarang. Tugas beliau memberi keyakinan bahawa kedudukan hak-hak Melayu dan bumiputera dalam Perlembagaan tidak akan dipinda sebagaimana dicanangkan oleh pembangkang.
Kita percaya, pakatan pembangkang sudah mencanangkan mereka mampu mengubah Perlembagaan jika mendapat kuasa majoriti dua pertiga di Parlimen. Sedangkan hakikatnya, tanpa perkenan Raja-Raja Melayu, soal untuk meminda Perlembagaan tidak akan jadi kenyataan.
Kita berharap UMNO akan terus bangkit memperjuang dan mempertahankan agenda Melayu dan bumiputera ini. Ingatlah tujuh wasiat Raja-Raja Melayu kepada orang Melayu semasa menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
Wasiat berkenaan dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu di negara ini.
Nampaknya isu meminda hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera, agama Islam dan institusi raja dalam Perlembagaan negara dijadikan modal politik oleh parti politik bukan Melayu dan dibantu oleh pengkhianat Melayu yang mabuk mahu berkuasa.
Sebab itu, Najib tidak boleh berseorangan dalam mempertahan Perlembagaan negara. Ahli-ahli UMNO, orang Melayu dan bumiputera kena bangkit bersama-sama mempertahankan Perlembagaan dan tidak terpedaya dengan taktik licik parti pembangkang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment