Tuesday, May 12, 2009

SIDANG MEDIA TOK GURU NIK AZIZ: SESUATU YANG SEMEMANGNYA MENJADI ASAS PERJUANGAN UMNO SELAMA INI!

SEBAHAGIAN DARIPADA PENEGASAN TOK GURU NIK AZIZ DALAM SIDANG MEDIA - 13 MEI 2009

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu daripada laki-laki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan supaya kamu saling berkenalan, beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa dikalangan kamu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan amalan kamu umat manusia” – Surah Al Hujuraat (Bilik-Bilik) ayat ke 13.

YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat memulakan sidang media yang penuh sesak dengan ayat di atas. Sidang media ini bukan saja sesak dengan pengamal media dari saluran perdana dan media online, tetapi juga dihadiri oleh Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan, ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Penyokong Kerajaan, pegawai-pegawai lantikan politik dan pegawai-pegawai Halaqat.

Tuan Guru membaca teks yang ditulis tangan dengan tulisan jawi. Berikut adalah intipati teks deklarasi Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 13 Mei 2009.

Rakyat Malaysia perlu mengingatkan diri sendiri dengan perasaan cinta dan menyintai satu sama lain.
Rakyat Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat.
Kerana kita telah memilih sistem demokrasi berparlimen maka kita perlu diberikan kembali hak-hak sivil kita termasuk kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan rules of law dan natural justice. Serta amalan hak asasi manusia yang dijamin oleh perlembagaan Malaysia.
Hak-hak itu perlu dikembalikan segera jika ia telah dirampas dari mereka selama ini
Rakyat pelbagai bangsa, etnik dan keturunan perlu dijamin keselamatannya dari segala gangguan apa bentuk jenayah sekalipun.
Selagi rakyat tidak selamat dari segala bentuk kegiatan negatif itu, selagi itulah kerajaan yang memerintah tidak akan selamat.
Mari kita jadikan tanggal 13 Mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama, mempereratkan persaudaraan dan mahabah serta menolak mana-mana pihak yang menolak perpaduan kaum, yang mencetuskan isu-isu perkauman yang bukan-bukan untuk mengaut mileage politik bertujuan melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan.
Kepada semua umat Islam saya menyeru, hayatilah mesej dalam salam yang disampaikan iaitu ‘peace be upon you’, disana ada makna yang sangat mendalam dan mesej persaudaraan tanpa batasan.
Pada rakyat Malaysia amnya, mari kukuhkan persaudaraan dalam semangat kesepakatan rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala bentuk amalan kezaliman, rasuah dan ketidak adilan.
Demikian adalah deklarasi yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Bilik Gerakan Negeri di Kota Darulnaim, Kota Bharu. Sejurus selepas itu Tuan Guru menyatakan hasratnya untuk menjawab sebarang soalan yang sekiranya ada dari pihak media dan semua yang hadir.

No comments: