Wednesday, August 11, 2010

Buku Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia Sorot Proses Transformasi Negara



SIARAN MEDIA
MAJLIS PELANCARAN BUKU
NAJIB TUN RAZAK-MELAKAR TRANSFORMASI MALAYSIA
10 OGOS 2010

KUALA LUMPUR , 10 Ogos 2010 – Majlis Pelancaran Buku Najib Tun Razak –“Melakar Transformasi Malaysia” telah diadakan di Amfiteater, Perbadanan Kraftangan Jalan Conlay, Kuala Lumpur hari ini.

Matlamat utama majlis ini adalah untuk memperkenalkan kepada orang ramai penerbitan buku bergambar Najib Tun Razak – “Melakar Transformasi Malaysia” di samping bahan-bahan penerbitan berkualiti yang memperjelaskan dasar-dasar kerajaan.

Majlis ini disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri. Turut hadir, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Wira Kamaruddin Siaraf dan Ketua-ketua Pengarah agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Buku Najib Tun Razak – “Melakar Transformasi Malaysia” merupakan buku terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Buku ini diterbitkan bagi menghargai sumbangan dan menyorot pencapaian Perdana Menteri, YAB Dato'' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam tempoh setahun menerajui pentadbiran negara sejak 3 April 2009. Di bawah kepimpinan beliau, Malaysia melalui satu proses transformasi ke arah menuju negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Abdullah Morad berkata, percambahan idea dan garapan penulisan yang ringkas dan padat dengan maklumat diharap dapat dijadikan panduan dan rujukan kepada generasi masa kini. Sesuai dengan iltizam YAB Perdana Menteri dalam melahirkan transformasi besar kepada Malaysia agar muncul sebagai sebuah negara dan kerajaan yang lebih bertanggungjawab, berfokus dan mendahulukan kehendak rakyat dalam semua segi. Judul "Melakar Transformasi Malaysia" dipilih sebagai tajuk buku ini bersempena dengan pelbagai transformasi yang dilaksanakan beliau untuk kemajuan negara.

Buku bergambar sebanyak 300 muka surat ini akan dijual pada harga RM100 dan boleh diperoleh di Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Jabatan Penerangan Malaysia, Tingkat 7 Barat, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Sebarang urusan berkaitan pembelian buku ini bolehlah menghubungi Encik Nor Hasyim atau Encik Mazli di talian 03-2173 4440/03-2173 4438.



SINOPSIS BUKU
NAJIB TUN RAZAK – MELAKAR TRANSFORMASI MALAYSIA


Buku Najib Tun Razak - Melakar Transformasi Malaysia merupakan buku terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Buku ini diterbitkan bagi menghargai sumbangan dan menyorot pencapaian Perdana Menteri, YAB Dato'' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam tempoh setahun menerajui pentadbiran negara sejak 3 April 2009. Di bawah kepimpinan beliau, Malaysia melalui satu proses transformasi ke arah menuju negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Najib Tun Razak - Melakar Transformasi Malaysia dipilih sebagai tajuk buku ini kerana ia sejajar dengan tindakan serta perancangan yang beliau laksanakan dalam menjayakan proses transformasi bagi mengemudi Malaysia mencapai kejayaan lebih gemilang dalam segenap bidang.

Kandungan buku ini menyentuh tentang pelbagai aspek pentadbiran dan pencapaian serta usaha Perdana Menteri Malaysia Keenam ini dalam melaksanakan proses transformasi negara, termasuk melalui beberapa inisiatif yang beliau perkenalkan seperti Gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Lonjakan Inovasi. Kekuatan buku ini diperkukuhkan dengan keunikan, semangat juang yang tinggi, kerja keras, sikap merakyatkan diri dan transformasi minda menerajui kepimpinan negara.

Pengalaman dan cabaran yang beliau hadapi dengan menggalas tanggungjawab dalam kemelut politik dan cabaran ekonomi bersama gandingan mantap timbalannya juga turut dikupas dalam buku ini melalui artikel Gandingan Najib-Muhyiddin, dan Membina Perpaduan Melalui Transformasi Minda.

Penerbitan buku ini diharapkan menjadi bahan rujukan penting dalam khazanah penerbitan negara untuk semua golongan masyarakat di samping mampu membuka mata dan minda pelbagai pihak serta menjadikan mereka lebih memahami tentang ketekunan, pengorbanan dan cabaran yang terpaksa diharungi oleh YAB Perdana Menteri dalam usaha beliau membangunkan negara demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan anutan agama.

Buku Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia Sorot Proses Transformasi Negara .


KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Buku Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia adalah sorotan proses transformasi negara yang dipelopori Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri.

Buku bergambar 300 halaman terbitan Jabatan Penerangan Malaysia itu menggarisi pelbagai dasar dan program Najib untuk melonjakkan Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Ia membantu pembaca memahami apakah proses transformasi Malaysia menerusi Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi, Model Baru Ekonomi serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Buku yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini Selasa turut memaparkan gandingan serasi Najib dan Muhyiddin dalam melaksanakan transformasi negara, serta menyaksikan kedua-dua pemimpin sama-sama bekerja keras dan turun padang bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Selain mempamerkan keterbukaan Najib terhadap media baru yang digunakannya sebagai medium mendekati masyarakat umum iaitu melalui Blog 1Malaysia, Facebook dan Twitter.

Buku tersebut turut memuatkan pandangan ringkas pelbagai pemimpin dalam dan luar negara, termasuk harapan bondanya Tun Rahah Mohd Noah mengenai anakanda sulung yang dipercayai mampu melakukan tugas dengan baik, sebagaimana suaminya Tun Abdul Razak Hussein.

Malahan ia turut memuatkan satu bab khas untuk isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, yang banyak menyumbang terhadap pencapaiannya sebagai pemimpin negara.

Penulisan ringkas dan padat selain dilengkapi pelbagai gambar menarik, memudahkan pembaca mengikuti dengan mudah usaha pentadbiran Najib untuk merealisasikan Wawasan 2020 yang akan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Ia dijual pada harga RM100 dan boleh didapati di Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Jabatan Penerangan di Tingkat 7 Barat, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, atau hubungi Nor Hasyim atau Mazli di talian 03-2173 4440 atau 03-2173 4438.

-- BERNAMA

No comments: