Friday, August 13, 2010
BERSETUJU DENGAN KERAJAAN : MAHASISWA TIDAK WAJAR DIBENARKAN BERPOLITIK.
Saya amat bersetuju dengan TINDAKAN KERAJAAN untuk tidak membenarkan MAHASISWA terlibat aktif dalam POLITIK.Polemik terkini berhubung Isu Mahasiswa Berpolitik : Kerajaan tetap mengekalkan larangan berpolitik kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam walaupun ada gesaan supaya mahasiswa dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik.
Mengikut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,beliau menegaskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum ini sudah memadai kerana ia memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara di kampus yang mana keterbukaan yang ada membolehkan MAHASISWA turut serta mengikuti perkembangan isu-isu politik dan yang pastinya TIDAK TERLIBAT secara AKTIF dalam organisasi PARTI-PARTI POLITIK. Yang jelasnya, sikap mengambil tahu atau mengikuti perkembangan ISU-ISU POLITIK/SEMASA sudah memadai diperingkat MAHASISWA yang masih belum MATANG dan BERKEMAMPUAN mengawal emosi dan rencah dalam arus POLITIK tanahair.
Saya difahamkan larangan itu kekal dan tidak ada perkembangan terbaru mengenai cadangan membenarkan mahasiswa berpolitik. Mahasiswa terikat dengan AUKU yang sebenarnya sudah dipinda dan memberi agak lebih kebebasan untuk mereka bersuara Malah, di kampus juga sudah ada `speaker corner... ini tidak menghalang mahasiswa membicarakan soal politik kerana mereka juga rakyat Malaysia. Sebenarnya penegasan Kerajaan berhubung larangan tersebut ialah dengan tidak membabitkan diri secara aktif dalam parti dan politik.Muhyiddin turut menegaskan kebenaran berpolitik di IPT tidak boleh disamakan seperti kebenaran guru berpolitik di sekolah kerana murid sekolah belum boleh terbabit dalam politik berasaskan faktor usia yang masih mentah, sekali gus tidak memberi kesan kepada golongan itu.
Kalau di kampus sasarannya kepada politik pastinya akan membawa kesan yang lain di mana di negara maju ada juga yang menyekat mahasiswa mereka terbabit (politik) kerana mereka mahu mahasiswa memberi tumpuan kepada akademik dan Kementerian Pengajian Tinggi turut digesauntuk tidak mempertimbang dan tidak membenarkan mahasiswa di IPT awam membabitkan diri dalam parti politik.
MAHASISWA TIDAK WAJAR BERPOLITIK & BERGIAT AKTIF DALAM POLITIK KERANA:
1.Berpolitik secara aktif dalam kalangan MAHASISWA boleh menimbulkan unsur permusuhan antara satu sama lain. Tidak mustahil dalam kalangan mereka memberi respon yang negatif sekiranya terdapat percanggahan pendapat. Ekoran sikap tidak berpuas hati, ia boleh merenggangkan hubungan sesama sendiri.
2.Sudah pasti pihak KERAJAAN dan KEMENTERIAN akan sukar mengawalnya kelak seolah-olah "bomb jangka" di intitusi pendidikan yang kelak akan memusnahkan kewibawaan institusi pendidikan tersebut. Contoh nagative: 1) akan tercipta medan pertempuran fahaman antara "mazhab" politik dan pegangan politik berbeza.(2)Perpecahan kesatuan para mahasiswa (3)Mengalak pembaziran waktu yang seharusnya lebih fokus kepada pengajian di kampus. (4)Pembaziran masa/wang ringgit/biasiswa/harta semasa berpolitik kelak.(5) Membuka peluang anasir luaran mengambil pelbagai kesempatan untuk menjayakan hasrat mereka. (6) Kelak akan membawa negara ke arah kemusnahan. 3.Biarlah kesempatan sebagai MAHASISWA ditempuh dengan sebaik mungkin tanpa curiculum tambahan seperti "berpolitik secara sah". Kesempatan berpolitik luas terbentang bila waktunya tiba kelak. Untuk menjadi PEMIMPIN, perlu ada sifat kesabaran.
4.Jangan kita gusar dan takut dengan OMOKAN bahawa nanti generasi muda sekarang akan hilang minat terhadap politik. Menyekat kebebasan bersuara malah ada melabelkan KERAJAAN bertindak kebelakang malah kita tengok sekarang, berapa ramai MAHASISWA yang tidak keluar mengundi malah tidak mendaftar sebagai pengundi sah.
Hakikatnya, usia semuda MAHASISWA ini tidak wajar untuk bergiat AKTIF dalam parti politik. Penerapan ilmu,sistem politik, parti-parti politik serta isu-isu yang berhubung kait dengan politik tanahair harus difahami dan diperjelaskan terlebih dahulu sebelum MAHASISWA betul-betul mahu AKTIF dalam politik. Usahakan anak-anak muda ini yang bergelar MAHASISWA untuk mendaftar sebagai pengundi, dimana sebetulnya pembudayaan POLITIK harus dipelajari di KAMPUS dan ianya segar berlaku disemua kampus-kampus IPTA/IPTS hari ini dan momokan hak-hak MAHASISWA dipinggirkan sama sekali tidak berlaku.
Saya sekali lagi AMAT BERSETUJU dan MEMUJI tindakan tegas dan pantas kerajaan untuk TIDAK MEMBENARKAN MAHASISWA AKTIF BERPOLITIK.
Berikut adalah pandangan-pandangan berhubung ISU MAHASISWA BERPOLITIK:
1.Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mempelawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk mengadakan perbincangan bersama bagi mengkaji penglibatan mahasiswa dalam politik negara.
Cadangan ini rentetan daripada sikap keterbukaan yang ditonjolkan oleh Datuk Saifuddin Abdullah bagi memberikan lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di Malaysia.
DPPP melihat isu kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia.
Perbincangan bersama dengan golongan pemuda terutamanya daripada Pakatan Rakyat juga perlu disebabkan perkara tersebut mempunyai kaitan dengan ruang lingkup sistem parti politik yang dihadapi pada hari ini.
Justeru, DPPP berpendapat perkara ini bukan semata-mata untuk kepentingan semua parti, bahkan ia adalah untuk membina idealisme mahasiswa disamping menekankan jatidiri dan komitmen mereka kepada masa depan negara.
Ust.Nasruddin Hassan Tantawi
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Pusat
2.Untung Rugi Mahasiswa Berpolitik
Thursday, 12 August 2010 06:35 |
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
JIKA persekitaran politik di universiti ketika ini diperhatikan dengan teliti, kebenaran kepada mahasiswa untuk bergiat aktif dalam politik perdana seharusnya tidak dijadikan isu. Ini kerana kebenaran berpolitik itu sebenarnya tidak lebih daripada formaliti kepada satu budaya berpolitik yang sudah pun wujud dalam persekitaran universiti itu sendiri.
Hakikatnya, di mana-mana universiti baik awam mahupun swasta, budaya politik partisan dalam kalangan mahasiswa sudah lama diamalkan. Jika tidak, tidak akan ada istilah kemenangan mahasiswa propembangkang atau prokerajaan setiap kali berlangsungnya pilihan raya kampus.
Malah, beberapa buah universiti juga sudah sinonim dilabel sebagai kubu kuat sama ada kerajaan atau pembangkang. Apa yang menjadi halangan untuk mereka memperlihatkan sokongan berpolitik itu adalah peruntukan undang-undang di bawah Akta Universiti Kolej dan Universiti (AUKU) (Pindaan 2009) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib 1976).
Akta ini antara lain tidak membenarkan mahasiswa atau pelajar IPT menjadi ahli politik melainkan dengan kebenaran Naib Canselor. Di universiti swasta pula, mahasiswa terikat dengan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan 2009) bagi perkara yang sama. Justeru, sebelum perbincangan mengenai kewajaran berpolitik dalam kalangan mahasiswa dibuka lebih luas, kekangan dari sudut AUKU perlu diperjelaskan terlebih dahulu.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dalam isu ini berpandangan, kebenaran itu tidaklah sampai memerlukan pindaan kepada AUKU. Tetapi apa yang boleh difikirkan adalah garis panduan atau pekeliling tata tertib berpolitik yang dikeluarkan oleh universiti.
Ini bagi memastikan proses penglibatan mahasiswa itu boleh dipermudahkan tanpa perlu menunggu pindaan AUKU yang perlu dibawa ke Kabinet. Jadi, dari sudut undang-undang, mahasiswa sudah mendapat jaminan dan kebenaran untuk berpolitik.
Meskipun ia masih di peringkat perancangan dan lebih banyak diskusi serta perbincangan perlu dilakukan, namun perkara ini boleh menjurus ke arah yang positif. Malah, banyak persatuan terutamanya berkaitan belia dan mahasiswa juga mahu melihat kebenaran berpolitik terpimpin di kalangan mahasiswa itu dapat dilaksanakan.
Perkara ini boleh dilihat dengan jelas ketika berlangsungnya sesi meja bulat mengenai isu berkenaan yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini. Saifuddin sendiri merupakan salah seorang panel bagi sesi tersebut bersama-sama tokoh akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Sarjit Singh Darshan Singh Gill. Panel lain ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim.
Sesi diskusi itu turut disertai beberapa barisan pemimpin pelajar dari universiti awam dan swasta, selain pemimpin-pemimpin pertubuhan belia. Rata-rata mereka sependapat dalam soal memberikan kebebasan kepada pelajar berpolitik tetapi beberapa perkara masih tidak jelas daripada kebenaran tersebut.
Antaranya, adakah ini bermaksud mereka boleh membawa identiti parti-parti tertentu di dalam kampus? Adakah mahasiswa juga dibenarkan sehingga menjadi pemimpin di dalam parti politik tertentu? Siapa pula yang dapat memastikan mahasiswa tidak dianiaya terutama dari sudut akademik apabila terpaksa berdepan dengan pensyarah yang tidak sehaluan ideologi politiknya?
Apa pula jaminan terhadap keselamatan di dalam universiti apabila mahasiswa yang berpuak mengikut parti politik bebas menyatakan sokongan dan pendirian masing-masing?
Persoalan-persoalan ini adalah antara sisi kontra yang dibangkitkan daripada sesi diskusi tersebut, selain kebimbangan melebarnya jurang antara kaum apabila parti berasaskan kaum mula menyebarkan ideologi politik mereka di kalangan mahasiswa.
Barangkali inilah juga kebimbangan yang dilihat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa larangan berpolitik dalam kalangan mahasiswa adalah kekal. Namun memandangkan diskusi mengenai perkara ini sedang hangat berlangsung dalam kalangan mahasiswa dan pertubuhan belia, maka wajar sekiranya pandangan serta pendapat mereka diambil kira.
Ini kerana selain sisi negatif yang mungkin lebih ditonjolkan, ada impak positif lain yang boleh dijelmakan daripada kebenaran berpolitik dalam kalangan mahasiswa. Jika tidak, Saifuddin sendiri selaku timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam menguruskan mahasiswa tidak akan melontarkan cadangan seperti itu.
Beliau pasti sangat menyedari isu ini boleh menjadi perkara yang akan merugikan dirinya dari sudut populariti dan survival politik. Umum mengetahui bahawa sensitiviti politik di universiti tidak pernah sealiran dan sependapat dengan sensitiviti politik arus perdana.
Politik bertentangan itu bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di negara-negara lain juga suara-suara mahasiswa yang menentang kerajaan lebih kuat kedengaran berbanding mereka yang berada di blok kerajaan.
Hakikat ini diperkukuhkan lagi dengan kajian yang menunjukkan bahawa 15 peratus mahasiswa tempatan condong kepada pembangkang berbanding hanya lima peratus yang pro kerajaan. Sebanyak 18 peratus mahasiswa lain pula berada di atas pagar dan selebihnya memilih untuk menjauhi politik.
Maka, tindakan kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik boleh menjadi senjata yang memakan diri apabila lebih banyak usaha diperlukan untuk mengawal ideologi dan tindakan mahasiswa berhaluan kiri. Begitu pun, ia bukanlah sesuatu yang tidak disedari oleh Saifuddin.
Selain Saifuddin, ramai lagi tokoh politik di blok kerajaan yang bermula sebagai pemimpin pelajar yang condong kepada pembangkang. Sekadar menyebut beberapa nama, mereka termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan beberapa pemimpin lain.
Persekitaran politik di universiti ketika ini tidaklah menjadi ancaman kepada kerajaan. Ia juga bukanlah kelebihan kepada pembangkang meskipun keadaannya dilihat lebih ke arah itu. Tetapi kebenaran berpolitik tersebut merupakan satu bentuk pendedahan kepada kematangan dalam berpolitik di dalam diri mahasiswa.
Ia boleh dijadikan medium kepada mahasiswa untuk mengasah bakat kepimpinan, seterusnya mengisi barisan kepimpinan masa hadapan. Lebih daripada itu, kebenaran berpolitik kepada mahasiswa juga boleh menyuntik elemen yang lebih segar dan semasa dalam persekitaran pengajian tinggi.
Banyak yang berpandangan persekitaran universiti ketika ini terlalu jumud dan sepi. Mahasiswa lebih banyak dilonggokkan dengan aktiviti bersifat akademik terutamanya kuliah yang adakalanya diadakan pada hari minggu dan sehingga lewat malam.
Ini menyebabkan mereka terbeban dan tidak berminat menyertai aktiviti-aktiviti berbentuk persatuan. Budaya ini terbawa-bawa sehingga mereka meninggalkan alam universiti. Ia sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa generasi muda hari ini tidak berminat mengikuti perkembangan politik semasa.
Malah golongan ini juga merupakan kumpulan paling ramai yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Sudut pidato yang diwujudkan di universiti juga tidak begitu mendapat perhatian mahasiswa.
Mungkin bagi mahasiswa, mereka melihat masih ada kekangan untuk menggunakan sepenuhnya kebebasan dari sudut pidato tersebut. Barangkali kebenaran berpolitik nanti akan menjadikan sudut pidato benar-benar hidup dan mampu menarik pelajar mengikuti perkembangan isu politik semasa dari konteks yang lebih luas.
Begitu pun dalam isu ini, kita perlu kembali kepada mahasiswa kerana merekalah yang akan mencorakkan kebebasan berpolitik itu. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, hanya sedikit sekatan dari sudut undang-undang yang mampu mendidik mahasiswa. Selebihnya, sekatan hanya akan mendorong mereka bertindak melangkaui batasan.
Mahasiswa juga tidak boleh ditakut-takutkan semata-mata mahu mengongkong kebebasan mereka. Mentaliti negatif terhadap keupayaan pelajar tidak akan membantu melahirkan mahasiswa yang berkualiti.
Sebaliknya, mahasiswa perlu diyakini mampu mengamalkan budaya terpimpin dan berakademik sesuai dengan kedudukan mereka sebagai ahli pemikir termasuk dalam soal kebebasan berpolitik ini.
3.Pengekalan Larangan Mahasiswa Berpolitik; Pemuda BN dicabar nyatakan pendirian.
Posted on Ogos 11, 2010 by Shamsul Iskandar
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) tidak terkejut dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri mengenai larangan mahasiswa melibatkan diri di dalam politik kepartian dikekalkan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan justifikasi bahawa larangan tersebut kekal kerana mahasiswa masih terikat kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Kenyataan beliau ini hanya membuktikan bagaimana Umno-BN, secara terancang, mahu membonsaikan minda mahasiswa yang satu ketika dahulu menjadi jurubicara masyarakat.
Apakah bezanya dengan kalangan guru yang kini dibenarkan berpolitik, jika hendak diberikan hak yang sama kepada mahasiswa dan juga para pensyarah universiti?
AMK yakin dan percaya, puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana sekiranya hak yang sama diberikan kepada mahasiswa, maka sudah pasti isu-isu rakyat yang kritis akan didepani oleh mahasiswa dengan begitu aktif sehingga melemaskan Umno-BN.
AMK mencabar Umno-BN melalui Tan Sri Muhyiddin untuk mengharamkan atau menamatkan operasi Kelab Umno mahupun Kelab Aspirasi yang ditaja Umno di IPTA/S seluruh negara dan luar negara yang secara jelas membuktikan keterlibatan Umno ke dalam kampus. Demikian juga Tan Sri Muhyiddin dicabar mengheret Puteri Umno ke mahkamah kerana secara terbuka beraktiviti di dalam kampus, yang terbaru di UiTM Shah Alam melibatkan pelancaran Skuad VOGUE Puteri UMNO Malaysia.
AMK juga mencabar Ketua Pemuda Umno dan MCA, YB Khairy Jamaluddin dan YB Wee Ka Siong yang selama ini berdegar-degar mempertahankan hak mahasiswa berpolitik untuk tampil menyatakan pendirian secara terbuka tanpa sebarang dolak dalih di sebalik alasan ‘akur dan taat kepada kepimpinan parti’.
Realitinya, mahasiswa merupakan ejen perubahan massa. Mewujudkan budaya ketakutan ke atas mahasiswa di Malaysia, hanya mengesahkan apa yang dinukilkan oleh penyair Indonesia lewat puisinya Takut ’66 Takut ’98, “Presiden (Perdana Menteri) Takut Pada Mahasiswa!
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KEADILAN
4.KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Sudah tiba masanya kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Fadzil Jamal (gambar) berkata, kerajaan harus terbuka dan ikhlas memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berketrampilan tinggi.
Sehubungan itu, MPMN katanya mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.
“Kami, pimpinan mahasiswa MPMN akan terus komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa sampai kepada para pemimpin kerajaan,” ujarnya pada sidang media di Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, tengah hari tadi .
Sesungguhnya, kata beliau proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berketrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.
Beliau berkata, MPMN berpandangan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas.
Ini, katanya kerana mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.
Baru-baru ini, timbul isu yang hangat dibincangkan di media-media dan di kalangan masyarakat adalah membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik.
Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan pelbagai respon terhadap isu itu. Ada di kalangan mereka yang melontarkan respons yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.
“Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) tampil untuk memberikan pendirian terhadap isu ini yang secara jelas perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan,” ujarnya.
5.Kabinet 'tak matang' larang mahasiswa berpolitik
Abdul Rahim Sabri
Ogos 12,11:08am
Keputusan jemaah menteri yang melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, semalam, disifatkan sebagai "tidak matang".
Malah, kata pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir Mohd Ithnin keputusan itu dibuat dilihat tidak mengambil kira bahawa mahasiswa sebagai warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.
"Kerajaan perlu melihat mahasiswa sebagai warganegara yang berumur 21 tahun ke atas diberi hak, partisipasi (dalam politik), berhimpun dan memberikan pandangan.
"Kami kecewa dengan keputusan kabinet yang tidak membina (semangat) mahasiswa, sebaliknya lebih bersifat untuk membunuh semangat mahasiswa.
"Jika seksyen 15 AUKU (Akta Univeristi dan Kolej Universiti) membenarkan mahasiswa berpolitik dengan izin naib canselor, maka seksyen ini jugalah digunakan untuk mendakwa mahasiswa dalam mahkamah. Di mana hak mahasiswa?" soalnya.
Shazni Munir yang juga pelajar Universiti Malaya mengulas mengenai keputusan jemaah menteri semalam yang memutuskan bahawa mahasiswa tidak dibenarkan terlibat dalam politik kepartian.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dilaporkan berkata seksyen 15, AUKU yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.
Me
ngulas lanjut, Shazni Munir berkata rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas sepatutnya diberi hak untuk berpolitik sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.
"Jadi mereka yang tidak menjadi mahasiswa, mereka lebih beruntung kerana berumur 21 tahun, bebas terlibat dengan politik dan berhimpun.
"Di mana kerajaan meletakkan mahasiswa sebagai agen intelektual. Ruang (berpolitik) harus diberikan lebih luas seperti berdebat dengan menteri atau NGO," katanya.
Mengulas mengenai mahasiswa diwajibkan memohon kebenaran daripada naib canselor sebelum menyertai poltik, Shazni Munir berkata sepatutnya perkara tersebut tidak perlu.
Mohon restu mak, ayah
"Sepatutnya mereka memikirkan untuk menaikkan kedudukan universiti ke tahap global dan antarabangsa. Memadai memohon restu mak dan ayah. Kenapa nak susah-susah nak minta izin kepada naib canselor," katanya.
Sementara itu, presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS), Mohd Idris Mohd Yusoff berkata walaupun kerajaan membuat keputusan tersebut, pihaknya akan tetap memperjuangkan agar mahasiswa boleh menyetai politik kepartian.
"Ini soal rakyat Malaysia, soal hak dan kebebasan mahasiswa," katanya.
Sementara itu, pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Ahmad Wafi Sahedan berkata beliau menyambut baik keputusan jemaah menteri itu kerana berpandangan kerajaan telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan perkara berkenaan.
Ahmad Wafi berkata walaupun kerajaan tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik kepartian, kumpulan itu mempunyai saluran lain untuk terlibat dengan kegiatan masyarakat.
"Pindaan AUKU memberi peluang untuk menjadi mahasiwa berwibawa dan lebih bagus dengan terlibat dengan NGO untuk menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan," katanya.
Tegasnya, mahasiswa perlu menjadi satu golongan yang mempunyai pendirian dan tidak dipengaruhi serta bebas mengkritik mana-mana pihak.
Ahmad Wafi merupakan yang juga yang dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (MPMUSM).
6.Pertimbangan yang menyeluruh dari pelbagai aspek perlu dibuat sebelum membenarkan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) membabitkan diri dalam politik negara, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.
Beliau berkata, perkara itu juga perlu mendapat pandangan pensyarah dan tenaga akademik di setiap IPT kerana mereka juga sebahagian daripada komponen dalam universiti.
"Biarlah perbincangan itu terus dilakukan, banyak aspek perlu dipertimbang termasuk membenarkan universiti itu bertukar menjadi gelanggang politik dan memastikan politik tidak berkembang masuk ke dalam kampus.
"Keputusan ini memerlukan pelbagai perhatian dan pertimbangan dan tidak hanya berasaskan kepada satu keputusan sama ada ya atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kediaman pelajar di Kolej Kristal, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, di Butterworth hari ini.
Sementara itu, beliau berkata UiTM kini dalam usaha membina lebih banyak kolej kediaman dengan matlamat untuk menampung keperluan 200,000 penuntut.
"Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, UiTM merancang untuk membina sekurang-kurangnya 20,500 tambahan tempat tinggal pelajar," katanya.
- Bernama
6.Sokong mahasiswa 21 tahun ada hak berpolitik
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 21 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong penuh kenyataan Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr Toh Kin Woon bahawa mahasiswa berusia 21 tahun ke atas berhak untuk berpolitik.
Mengulangi kenyataan Dr Toh bahawa tindakan empat mahasiswa sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selari dengan seksyen 119 (1a) dalam Perlembagaan Persekutuan, Ketua Penerangannya, Fadhil Osman (gambar) mempersoal kerajaan yang tidak membenarkan mahasiswa 21 tahun ke atas untuk berpolitik dan menyatakan pendirian mereka terhadap mana-mana parti politik.
"Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warga negara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihan raya.
"DPPWP mempersoalkan, kalau sekiranya usia 21 tahun adalah usia kelayakan mengundi, mengapa mereka tidak dibenarkan untuk berpolitik dan menyatakan sikap mereka terhadap mana-mana parti politik.
“Bukankah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, justeru mengapa mesti ada sekatan terhadap empat mahasiswa tersebut untuk mengamalkan hak demokrasi mereka?" katanya kepada Harakahdaily.
DPPWP juga, katanya meminta pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM lebih profesional dan rasional dalam menangani isu ini kerana empat mahasiswa tersebut terlibat dalam kempen di luar universiti, bukan melakukan kesalahan mengabaikan pelajaran dan meninggalkan kelas pengajian atau manjatuhkan nama baik universiti.
"Tindakan diambil terhadap mereka hanya kerana mereka berkempen untuk Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, tetapi bagaimana sekiranya mereka adalah ahli Umno dan terlibat secara langsung dengan kempen di mana-mana pilihan raya kecil?" katanya.
Sehubungan itu, ujarnya DPPWP berpandangan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sudah tidak relevan kerana ia menyekat mahasiswa untuk menyatakan hak mereka.
"AUKU adalah alat untuk menyekat kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik, sedangkan dengan cara inilah mampu mematangkan mahasiswa dan melatih kepemimpinan mereka. Sepatutnya mahasiswa diberikan kebebasan mengenali lanskap politik negara, agar mereka tahu dan mampu menangani isu-isu semasa dengan baik.
"Apa yang berlaku hari ini, ramai mahasiswa yang tidak tahu menahu hal ehwal negara menyebabkan mereka menjadi lesu dan tidak bersikap proaktif dalam kepemimpinan mereka," katanya.
Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.
Ekoran itu, mereka tampil membuat bantahan dan memohon agar pertuduhan itu dibatalkan atas dasar Malaysia khususnya universiti sendiri mengamalkan demokrasi seperti yang diwarwarkan kerajaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment