Saturday, August 14, 2010
MY MOTHER : HEADMISTRESS OF SEKOLAH KEBANGSAAN PULAU BELURU, TUMPAT,KELANTAN
SMK Zainab1 lancar program adik angkat
Sebahagian pelajar yang menyertai Program Kemasyarakatan Adik Angkat di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, Tumpat, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
TUMPAT 2 Ogos - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1, Kota Bharu buat julung-julung kali melancarkan Program Kemasyarakatan Adik Angkat Bahasa Inggeris bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa tersebut di kalangan kira-kira 50 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di sini.
Melalui program tersebut, seramai 41 pelajar tingkatan empat SMK Zainab 1 akan menjadi 'guru muda' kepada murid-murid SK Pulau Beluru.
Lebih menarik lagi, program itu turut disertai oleh dua orang pelajar asing yang sedang melanjutkan pelajaran mereka di SMK Zainab 1 iaitu sekolah kluster kecemerlangan.
Pengetua SMK Zainab 1, Wan Jah Wan Yaacob berkata, sebagai sekolah kluster kecemerlangan, SMK Zainab 1 perlu mengadakan rangkaian untuk berkongsi kepakaran dengan sekolah lain terutama di luar bandar.
Beliau berkata, melalui program berkenaan, SK Pulau Beluru akan dijadikan anak angkat dan rakan kongsi dalam program-program kecemerlangan yang bakal dianjurkan pada masa hadapan.
"Murid-murid SK Pulau Beluru mempunyai pelbagai kemudahan pembelajaran tetapi kemiskinan keluarga menghalang mereka mendapatkan motivasi diri serta pendedahan yang berkesan dalam bahasa ini," katanya ketika merasmikan program berkenaan di SK Pulau Beluru di sini semalam.
Hadir sama Guru Besar SK Pulau Beluru, Faridah Che Long.
Dalam usaha menarik minat 'adik angkat' mereka belajar bahasa Inggeris, pelbagai pendekatan digunakan oleh pelajar SMK Zainab 1 antaranya menggunakan kaedah permainan dan pertandingan seperti 'Spelling Bee' dan 'Spell It Right'.
Menurut Wan Jah, program tersebut diharap dapat memberi motivasi dan galakan kepada murid-murid terlibat supaya berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu dua pelajar SMK Zainab 1 yang terlibat dalam program tersebut menyatakan rasa gembira kerana dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris adik angkat masing-masing.
Bagi Ilham Jabri, 15, yang berasal dari Vienna, Itali, dia akan membantu adik angkatnya untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.
"Saya yakin adik angkat saya akan dapat memahami pembelajaran bahasa Inggeris dengan lebih baik. Program ini juga sebenarnya bersifat serampang dua mata kerana pada masa sama saya turut berpeluang meningkatkan penguasaan bahasa tersebut," katanya.
Katarina Nahlik, 15, dari Austria pula berkata, dia tidak pernah menyangka akan berpeluang mengikuti program seumpama itu dan dapat berinteraksi dengan murid di kawasan pedalaman yang terpaksa menaiki bot untuk ke sekolah.
"Murid-murid di sini terpaksa melalui kesukaran untuk menuntut ilmu berbanding kanak-kanak di negara saya yang tidak perlu menaiki bot untuk ke sekolah," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment