Mengupas permasalahan, masa depan orang Melayu
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2011/02/07
DR MAHATHIR bersama (dari kiri) pengerusi majlis, Datuk Seri Ibrahim Saad dan Pemangku Presiden MUBARAK, Datuk Seri Abdul Aziz Yassin pada wacana ‘Bangsa Melayu dan Masa Depannya’ di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur.
Perpecahan kepada tiga kumpulan merugikan agenda bangsa sendiri
MENGIKUTI wacana bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membincangkan mengenai ‘Bangsa Melayu dan Masa Depannya’ anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) di Memorial Tun Hussein Onn, Bukit Perdana di ibu negara, Selasa lalu, dengan jelas menguraikan apa yang tersirat di sebalik pemikiran negarawan itu.
Ternyata walaupun sudah lebih lapan tahun Dr Mahathir melepaskan jawatan selaku Perdana Menteri, namun hasratnya untuk melihat bangsa Melayu maju dan dapat berdiri sendiri dan mencipta kejayaan tanpa bergantung kepada ‘tongkat’ kerajaan terus diperjuangkannya.
Namun, memahami apa yang tersirat di benak fikirannya, ternyata bekas Presiden UMNO itu belum berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi orang Melayu kini dan baginya orang Melayu masih tempang tanpa ‘tongkat’, apatah lagi orang Melayu kini berpecah kepada tiga kumpulan.
Bagi Dr Mahathir perpecahan Melayu yang pertama bermula apabila segelintir golongan ulama dalam UMNO kecewa dan keluar meninggalkan parti itu serta membentuk parti baru, iaitu PAS. Pada masa itu, mereka beranggapan bahawa kumpulan yang berstatus ulama tidak diberi ruang untuk menjadi wakil rakyat.
“Golongan ulama itu kecewa apabila mereka tidak dipilih sebagai anggota Majlis Legislatif sekitar 1940-an, padahal pada masa itu, belum lagi diadakan pilihan raya dan UMNO belum memutuskan calon yang akan bertanding. Bagaimanapun kewujudan PAS gagal menggugat kedudukan UMNO.
“Golongan ulama tidak dipilih untuk menganggotai Majlis Legislatif kerana pada masa itu penubuhan majlis berkenaan adalah sebagai medan rundingan dengan British dan semestinya keutamaan diberikan kepada individu yang boleh berbahasa Inggeris,” katanya.
Namun individu kecewa dalam UMNO terus berlanjutan dari semasa ke semasa sehingga kepada tertubuhnya beberapa parti yang di dominasi orang Melayu, iaitu Semangat 46 (S46) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Semuanya kecewa kerana gagal mencapai apa yang diinginkan ketika bersama UMNO. Namun hari ini, S46 sudah dibubarkan dan kembali kepada UMNO serta ada parti bakal berkubur tidak lama lagi.
Lebih malang lagi, parti yang memecahkan orang Melayu itu gagal membuktikan mereka sebagai sebuah parti tulen berjuang untuk agama, bangsa dan negara, sebaliknya hanya berjuang bagi menggapai impian serta mengintai peluang tersedia.
Hakikatnya, perpecahan orang Melayu kepada tiga kumpulan akan mengakibatkan bangsa Melayu lemah dan terpaksa bergantung kepada pihak luar. Kesan daripada perpecahan berkenaan, orang Melayu menjadi semakin lemah dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu tidak boleh bertegas.
Dr Mahathir berpendapat, kekuatan dan kegemilangan orang Melayu hanya boleh dibina kembali menerusi perpaduan.
Menyorot sejarah perjuangan orang Melayu yang menentang pihak penjajah sebelum merdeka, walaupun mereka tiada kekuatan tentera, miskin dan tiada senjata, tetapi berhasil membebaskan tanah Melayu daripada penjajah British.
Katanya, kunci kepada kejayaan itu adalah kerana perpaduan dan mereka bersatu menentang golongan penjajah. Misalnya Tok Janggut yang menentang pihak penjajah menguasai kutipan cukai di Kelantan, terkorban kerana beliau berjuang seorang diri kerana ingin kuasa mengutip cukai dikembalikan.
Orang Melayu mempunyai kekuatan sekiranya mereka bersatu dan menjadi kuat serta berjuang dengan satu matlamat. Apabila perjuangan dilakukan secara beramai-ramai maka banyak pendapat dan buah fikiran dapat dikongsi, selain menampakkan kekuatan bangsa itu sendiri.
Hari ini orang Melayu masih memerlukan ‘tongkat’ ataupun bantuan kerajaan untuk bersaing dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, 30 peratus penguasaan dalam ekonomi negara tidak akan tercapai jika membuang tongkat berkenaan.
“Ada segelintir orang Melayu yang berasakan dirinya sudah kaya, walaupun hakikatnya tidak begitu kaya, mahu ‘tongkat’ dihapuskan serta tidak mahu bergantung terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi pada hakikatnya Melayu masih ‘tempang’ dan lebih malang lagi jika orang Melayu berkenaan sedia bergantung kepada orang lain untuk mencapai sesuatu kejayaan diimpikannya.
“Orang Melayu perlu menggunakan tongkat (bantuan) disediakan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai cerdik pandai, untuk jadi kuat dan kaya. Kita boleh tolak tongkat berkenaan selepas boleh berdiri atas kaki sendiri. Jika kita bergantung kepada orang lain, maka kita akan duduk di bawah pemerintahan mereka dan kehilangan kuasa, walaupun orang Melayu menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Ditanya mengapa orang Melayu memerlukan ‘tongkat’ daripada kerajaan untuk bersaing, jawapan Dr Mahathir mudah, iaitu untuk mengelak orang Melayu daripada menjadi ‘hamba’ atau dikuasai pihak lain yang mempunyai kepentingan mahupun agenda peribadi.
UMNO, PAS dan PKR pada kaca mata Dr Mahathir mengundang keresahan kepada orang Melayu ataupun kembalinya ‘The Malay Dilema 2’. PAS dan PKR adalah dua parti serpihan yang lahir daripada UMNO kerana kecewa serta gagal dalam perjuangan dan dua parti ini berjuang lebih kepada kepentingan sendiri.
Katanya, tiada apa yang boleh diharapkan orang Melayu melalui perjuangan dua parti serpihan ini. PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, perjuangannya cukup jelas untuk membawa ketua pembangkang itu ke Putrajaya bagi merealisasikan impian tidak kesampaian.
Anwar berjuang bukan untuk rakyat, sebaliknya bagi memastikan beliau menjadi Perdana Menteri selepas dipecat Dr Mahathir pada 1998.
Dr Mahathir berkata, PAS pula sememangnya mempunyai sejarahnya tersendiri. PAS pernah bersatu dengan UMNO dalam PERIKATAN, namun berpecah kembali selepas itu. Parti itu dipimpin Datuk Nik Aziz Nik Mat yang bersifat oportunis sanggup melakukan apa saja demi kepentingan politik.
“Dulu UMNO dituduh kafir kerana berkawan orang bukan Islam, tapi hari ini PAS sanggup berpeluk dengan bukan Islam demi kepentingan politik mereka. Dua parti ini dengan jelas tidak mempunyai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
“Perjuangan demi kepentingan agama, bangsa dan negara masih diteruskan UMNO. Namun selepas 50 tahun pemerintahnya parti itu perlu dibersihkan daripada pelbagai tohmahan serta penyakit, terutama rasuah. UMNO perlu dibersihkan daripada gejala berkenaan terutama bagi menarik sokongan generasi muda,” katanya.
UMNO perlu berubah mengikut peredaran masa jika mahu terus kekal relevan, parti yang menunjangi orang Melayu lebih setengah abad itu perlu ditonjolkan lagi sebagai sebuah parti yang benar-benar memperjuangkan agama, bangsa dan negara berbanding parti pembangkang.
Walaupun baru-baru ini, ada usaha untuk menyatukan PAS dan UMNO demi kepentingan survival politik orang Melayu, bagaimanapun beliau yakin usaha berkenaan tidak akan tercapai kerana dasar perjuangan parti berkenaan cukup berbeza.
“PKR yang dipimpin (Anwar) hanya mahu ke Putrajaya saja dan PAS dipimpin Datuk Nik Aziz Nik Mat seorang oportunis, mengambil kesempatan jika ada peluang. Mereka tidak pernah ikhlas perjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment